Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Majlis Silaturahim Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) di Hotel Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 17 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan permintaan yang mahu seni silat diperluaskan ke peringkat sekolah di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri itu bersedia merujuk cadangan itu untuk perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Radzi Jidin tidak lama lagi.

“Sebenarnya kokurikulum seni mempertahankan diri yang wujud di negara ini dalam sistem pendidikan negara membenarkan ia diajar di peringkat sekolah sama ada melalui aktiviti tertentu seperti seni silat atau apa sahaja antaranya taekwando.

“Kalau mereka menginginkan seni pertahankan diri yang lebih teratur dan strategik maka mereka boleh mengutamakan dan mengajar seni silat peringkat sekolah,” katanya ketika ditanya pemberita selepas Majlis Silaturrahim Seni Silat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas permintaan salah seorang pengamal seni silat Melayu pada majlis tersebut yang mahu seni pertahanan diri yang diwarisi itu perlu diberi keutamaan dan diperluaskan ke semua sekolah.

Mereka juga menyatakan keluhan bukan semua sekolah di negara ini mengajar aktiviti seni pertahanan diri seni silat dan masalah itu perlu ditangani segera agar generasi muda tidak lupa seni warisan yang ditinggalkan datuk dan nenek moyang mereka.

“Sebab itulah saya memberitahu bahawa perkara ini saya akan membawa kepada perhatian Menteri Pendidikan dan berbincang dengannya untuk mencari kaedah terbaik melaksanakannya,” ujar Hamzah.- MalaysiaGazette