Permandangan di kawasan Seberang Perai kabur susulan bacaan IPU kualiti udara di kawasan berkenaan berada di tahap sederhana. Foto - Ihsan JAS Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat stesen pengukuran kualiti udara di negeri ini menunjukkan pada di tahap sederhana.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ia mencatatkan bacaan di bawah 100 setakat petang tadi.

Sharifah Zakiah.

“Stesen di Minden, Universiti Sains Malaysia (USM) mencatatkan bacaan IPU  68 dan stesen Balik Pulau pula 61. Manakala stesen di Seberang Jaya menunjukkan bacaan 72 dan stesen Seberang Perai pula 74.

“Pencemar utama adalah PM2.5 iaitu partikel halus bersaiz kurang 2.5 micron,” katanya dalam kenyataan media  hari ini.

Sehubungan itu, Sharifah Zakiah menasihati orang ramai agar tidak memburukkan lagi kualiti udara setempat dengan mengelak melakukan pembakaran terbuka atau apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran.

“Pembakaran terbuka merupakan kesalahan dibawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 bagi setiap satu kesalahan atau penalti maksima RM500,000 atau penjara maksima selama lima tahun.

“JAS Pulau Pinang akan terus menjalankan pemantauan dan rondaaan bagi mencegah berlakunya pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara dan kesihatan penduduk setempat.

“Orang ramai boleh melayari laman web APIMS bagi mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam,” jelas beliau.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya). – MalaysiaGazette