Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy bercakap kepada media selepas perasmian Briged Wanita MIC Kebangsaan ketika di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dirinya terlibat dalam penyewelengan dana Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Sebaliknya belau berikrar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah berkaitan dirinya serta memburukkan nama MIC.

Beliau yang telah membuat laporan polis lewat malam tadi mendedahkan kepada MalaysiaGazette, tuduhan terhadapnya serius dan tular di media sosial.

“Ada induvidu cakap saya kena tangkap, saya telah menyeleweng dana masyarakat India serta tuduhan-tuduhan lain. Pada saya, semua ini tidak berasas dan saya tidak akan sesekali berdiam diri kepada mana-mana pihak membuat fitnah atau menjejaskan nama keluarga saya mahu pun MIC.

“Saya telah membuat laporan polis dan juga sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap induvidu dikenalpasti menyebarkan fitnah terhadap saya tanpa bukti,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes seleweng, heret pelaku ke muka pengadilan – Saravanan

Satu video tular di media sosial mengaitkan Mohana dengan penyelewengan dana Penjana Kerjaya melibatkan jutaan ringgit sejak kebelakangan ini.

PERKESO ketika ini telah bertindak menggantung bayaran program Penjana Kerjaya berjumlah RM423 juta susulan kes penyelewengan oleh syarikat berstatus sendirian berhad. 

Langkah penggantungan itu dibuat berdasarkan analisis data dan pemantauan berterusan Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti (AFEI) pertubuhan berkenaan.

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diamanah melaksanakan pelbagai inisiatif kerajaan semasa tempoh pandemik Covid-19, PERKESO memandang serius isu penyelewengan itu.

Kelmarin, media melaporkan, seramai 37 individu yang dipercayai menggunakan platform Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu sehingga RM100 juta. 

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat berstatus sendirian berhad. 

Katanya, SPRM turut membekukan akaun bernilai RM7.3 juta milik syarikat berkenaan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes seleweng dana Penjana Kerjaya: Ketua kerani antara 3 lagi diberkas SPRM