Tiga lagi suspek termasuk ketua kerani antara dicekup SPRM kerana menyeleweng dana Penjana Kerjaya berjumlah RM100 juta. - Gambar Ihsan SPRM.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga lagi individu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Tangkapan terbaharu itu susulan daripada penahanan reman terhadap 37 individu oleh SPRM semalam.

Permohonan reman terhadap ketiga-tiga individu termasuk seorang ketua kerani kanan sebuah jabatan kerajaan itu masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Georgetown pagi tadi.

Di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Majistret Melody Woon Sze Mun membenarkan permohonan reman selama tiga hari terhadap kakitangan jabatan kerajaan terbabit bermula hari ini sehingga 17 Julai depan.

Menurut sumber, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di SPRM Johor kira-kira pukul 7.45 malam semalam ketika hadir memberi keterangan berkenaan kes tersebut.

Katanya, suspek dipercayai telah menerima wang berjumlah RM5,000 daripada salah seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk membantu syarikatnya dalam urusan tuntutan bagi Program Penjana Kerjaya.

Tambahnya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tiga lagi suspek termasuk ketua kerani antara dicekup SPRM kerana menyeleweng dana Penjana Kerjaya berjumlah RM100 juta. – Gambar Ihsan SPRM.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret Georgetown, Majistret Rosnee Mohd. Radzuan membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap dua suspek lelaki berusia 40 dan 26 tahun mulai hari ini sehingga 20 Julai depan.

Jelas sumber, kedua-dua suspek ditahan di SPRM Pulau Pinang masing-masing pada pukul 6.50 malam dan 7.25 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Mereka dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butiran matan palsu secara dalam talian kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut bayaran insentif pengambilan pekerja dan latihan daripada PERKESO di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan tidak menolak kemungkinan akan membuat beberapa tangkapan lagi dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette