M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Semua pihak yang membuat tuntutan palsu berkaitan Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) perlu diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

Demikian tegas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang memberikan sokongan penuh terhadap usaha Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyiasat berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana berkenaan membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan di seluruh negara melalui Ops Hire.

Ahli Parlimen Tapah itu memuji langkah drastik yang dilakukan kedua-dua agensi kerajaan itu menerusi Ops Hire yang telah dilaksanakan bermula 13 Julai lalu.

“Operasi Hire ini adalah satu aktiviti yang perlu dilaksanakan dan KSM tidak akan berkompromi sama sekali memandangkan terdapat pelbagai pihak yang telah mengambil kesempatan ke atas inisiatif kerajaan dengan melakukan penyelewengan dana dan tuntutan palsu.

“Dana Penjana Kerjaya yang telah disalurkan kepada majikan adalah sebagai suatu inisiatif kerajaan semasa tempoh pandemik bertujuan untuk membantu majikan menggajikan pekerja yang menganggur dan membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

“Maka, pihak-pihak yang telah mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan palsu ini mesti dbawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Saravanan, operasi gabungan dua agensi itu pada Khamis lalu menyaksikan seramai 37 individu telah ditahan reman di beberapa negeri bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya dan nilai keseluruhan dana adalah hampir RM100 juta.

Pada masa yang sama, jelasnya, PERKESO juga telah mengambil tindakan proaktif dengan menggantung bayaran Program PenjanaKerjaya selepas ini.

Menurut Saravanan, tindakan penggantungan bayaran dibuat berdasarkan penganalisisan data dan pemantauan pengoperasian PenjanaKerjaya secara berterusan oleh PERKESO.

“Sehingga kini, jumlah bayaran yang telah dibuat oleh PERKESO kepada para majikan dan pekerja di bawah Program Penjana Kerjaya adalah sebanyak RM2.34 bilion membabitkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan seramai 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada para majikan dan penyedia latihan agar tidak sama sekali membuat salah laku atau tuntutan palsu kerana sumber kewangan yang disalurkan telah diagihkan untuk tujuan menyokong usaha-usaha penting kerajaan demi memperkasakan pasaran buruh di Malaysia,” katanya.

Justeru bagi mana-mana pihak majikan dan penyedia latihan yang telah membuat salah laku dalam permohonan Penjana Kerjaya digesa tampil dan membuat bayaran balik insentif tersebut bagi mengelak tindakan undang-undang lebih keras dikenakan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes seleweng dana Penjana Kerjaya: Ketua kerani antara 3 lagi diberkas SPRM