Lelaki yang didakwa menghina Islam mengalami kecederaan selepas dibelasah sekumpulan individu di Puchong 12 Julai lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pagi esok.

KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki yang merupakan penghantar makanan yang dibelasah oleh sekumpulan individu sebelum ditahan polis kerana didakwa menghina agama Islam akan direman di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan siasatan dan tangkapan ke atas suspek itu telah dibuat bersabit satu video tular berdurasi 36 saat yang tular di media sosial.

“Suspek merupakan lelaki berumur 39 tahun, bekerja sebagai penghantar makanan dan berstatus duda. Suspek akan dibawa ke mahkamah Majistret Sepang pada pagi 18 Julai ini (esok) untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan lelaki hina agama Islam

Tambah Wan Kamarul Azran, semakan awal polis mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.

“Sehingga kini terdapat enam laporan polis yang dibuat berkaitan dengan isu menghina agama membabitkan suspek ini. Polis  menasihati orang ramai supaya hentikan spekulasi dan serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Terdahulu dalam video itu memaparkan seorang lelaki menghina Allah, agama Islam, Nabi Muhamad SAW dan bangsa Melayu.

Rentetan penularan video itu, sekitar pukul 3.28 pagi tadi satu laporan polis telah dibuat oleh orang awam dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

“Pada jam lebih kurang pukul 12.30 tengahari tadi polis telah menangkap suspek di sebuah rumah di Taman Bukit Kuchai Puchong.

“Semasa tangkapan itu, polis juga turut merampas sebuah telefon bimbit yang digunakan oleh suspek untuk merakam video tersebut,” katanya.  – MalaysiaGazette