Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali dipilih sebagai presiden baharu pertubuhan itu berkuatkuasa serta merta.

Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali atau dikenali Tok Him yang mengumumkan pelantikan itu serentak dengan peletakan jawatan berkenaan yang dipegangnya selama 14 tahun pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-10 Perkasa di sini  petang ini.

Menurut Ibrahim, Syed Hasan yang antara pengasas Perkasa dipilih sebulat suara sebagai presiden kedua Perkasa bagi sesi 2022 hingga 2025.

“Pelantikan Syed Hasan sebagai pengganti saya adalah pilihan yang tepat memandangkan beliau bersama saya sejak awal penubuhan dan perjuangan Perkasa kira-kira 14 tahun lalu.

“Pemilihannya juga mendapat persetujuan sebulat suara oleh kira-kira 350 perwakilan dari seluruh negara yang hadir termasuk Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa.

“Pelantikan baharu dan peletakan jawatan saya ini sudah tiba masanya kerana saya selepas ini akan menumpukan sepenuh perhatian kepada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra),” katanya kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-10 Perkasa di sini petang ini.

Perkasa sudah berusia 14 tahun namun persidangan tertangguh selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19 dan satu tahun ketika penaja sebelum menerima kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Perkasa diasaskan oleh Ibrahim dan memegang jawatan presiden sejak ia mula ditubuhkan.

Menurut Ibrahim, Syed Hassan akan dibantu oleh seorang timbalan presiden dan lima naib yang dilantik selepas selesai mesyuarat.

Timbalan Presiden ialah Syed Osman Syed Mansor dari Kedah, manakala Naib Presiden, Dr. Amini Amir Abdullah (Pulau Pinang), Ghauth Md. Yusof )Johor), Che Asri Che Ali (Kelantan), Borhan Zakaria (Selangor) dan Boni Abdullah (Sabah).

Seramai 15 ADT baharu yang dipilih ialah Azman Tahir dari Negeri Sembilan), Nasir Othman (Pulau Pinang), Arshad Aliman (Selangor), Hazamin Yusuf (Perak), Nasrul Ali Hassan Abd. Latif (Selangor), Syed Shahriman Badrishah (Kelantan).

Turut dipilih, Marini Nasution Harun Seribu Jaya dari Kelantan, Abd. Aziz Talib (Johor), Mohamad Khir Suri (Johor), Azrol Mansor (Kedah), Datuk Burhanuddin Ruslan (Kelantan), Mohd Safian Sauri (Perak) dan Mohd Fauzi Zukifli (Perak), Razmalina Razali (Wilayah Persekutuan) dan Ahmad Kahirul Azman Razali (Selangor).

Syed Hassan (tengah) bersama barisan kepimpinan baharu Perkasa bagi sesi 2022-2025

Menurut Ibrahim lagi, senarai lapan ADT lagi termasuk jawatan Yang Dipertua (YDP) negeri akan diumumkan dalam waktu terdekat kerana jawatan itu dilantik atas kuasa Presiden.

Mengenai dua usul utama yang diluluskan, katanya, usul itu mendesak kerajaan supaya mengembalikan Akta ISA bagi menangani pelbagai isu yang boleh mengugat keamanan negara.

Melalui akta itu Perkasa mengharapkan kerajaan menambah hukuman iaitu melucutkan kerakyatan terhadap sesiapa sahaja yang menghina Rasullulah, agama Islam, kaum pribumi dan Institusi Raja-raja Melayu tanpa mengira kaum.

“Tidak kira sesiapa yang bersikap biadap dan kurang ajar termasuk individu Melayu yang haprak harus dikenakan hukuman itu.

“Usul kedua ialah Perkasa menggesa kerajaan mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi Negara bagi menangani rasuah yang semakin berleluasa dan memalukan negara yang kini dikenali Malaysia Negara Rasuah.

“Kerajaan harus mengambil maklum, pegawai kerajaan atau PTD adalah golongan yang bersubahat menyebabkan rasuah dan terpalit bersama orang politik dalam kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan, jika pegawai berkenaan bertanggungjawab kepada pengurusan kewangan, biarlah menjalankan tugas dengan tegas dan berintegriti, pasti rasuah tidak seburuk ini. – MalaysiaGazette