JOHOR BAHRU – Lima individu yang dipercayai terbabit dengan insiden hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perintah tahanan reman selama tiga hari itu dibenarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas permohonan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mahkamah pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima individu itu direman bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji yang menggemparkan negara sebelum Hari Raya Aidiladha lalu.
“Setakat ini polis Johor sudah menerima empat laporan membabitkan bakal jemaah haji yang terpedaya dengan tawaran visa furada sebuah agensi pelancongan.
“Kita akan siasat dahulu kes ini dengan terperinci sebelum berkongsi maklumat lanjut nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 9 Julai lalu, polis menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan yang dipercayai terbabit kes 380 individu ditawarkan pakej haji dan terkandas di KLIA.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di ibu negara kira-kira pukul 9 malam.
Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.
Pada 10 Julai lalu, lima individu terbabit juga sudah direman selama tiga hari di Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, semua suspek berkenaan diserahkan kepada pihaknya untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini media melaporkan, sebanyak 57 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan insiden 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA.
Ketua Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata kesemua laporan polis itu membabitkan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan dengan kerugian keseluruhan mencecah RM2.37 juta.
Sebanyak 25 laporan polis diterima di Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM620,000, manakala 23 lagi laporan polis diterima di Kuala Lumpur membabitkan kerugian RM766,500.
Empat lagi laporan polis diterima di negeri Pahang membabitkan kerugian berjumlah RM874,000. Laporan polis juga diterima masing-masing satu di Pulau Pinang (RM32,000), Perak (RM25,000), Negeri Sembilan (RM16,000), Terengganu (RM38,000) serta satu laporan di Johor. – MalaysiaGazette