KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MoT) bakal menjadi agensi kawal selia subsektor gudang darat seperti yang diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pekerja Asing yang diadakan hari ini.
Menterinya, Datuk Wee Ka Siong berkata, MOT akan menjalankan tugas mengawal selia pengambilan pekerja asing berdasarkan garis panduan yang ditetapkan di bawah Akta 446 di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Ini kerana, menurut beliau, kekurangan dan ketiadaan pekerja merupakan antara rungutan yang disebut-sebut oleh pemain sektor pengusaha gudang ini.
Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu akan ditentukan kesahihan terlebih dahulu.
“Apakah ianya syarikat yang benar-benar beroperasi atau tidak?. Kita akan memastikan berapa jumlah keperluan pekerja warga asing yang diperlukan untuk membolehkan kita memantau dengan lebih rapi
“Kita tidak mahu kuasa ini disalahgunakan dan hanya digunakan untuk sektor gudang darat sahaja. Secara spesifiknya kita diamanahkan untuk melihat sektor ini, justeru kita tidak mahu nanti ada pihak yang mengambil peluang dari sini dan mungkin separuh akan dibawa masuk melalui bidang lain. Kita bertanggungjawab untuk melihat dan memantau kemasukan ini” katanya.
Terdahulu, beliau hadir di Majlis Pelancaran 13th Co-Operative Mechanism Keselamatan Pelayaran dan Perlindungan Alam Sekitar di Selat Melaka dan Singapura 2022, di Hotel InterContinental, di sini, hari ini.
Ka Siong mengakui aktiviti import dan eksport kini lebih rancak akibat daripada permintaan yang mula beransur pulih hingga mencapai satu tahap yang agak memberangsangkan.
Bagaimanapun, kekurangan pekerja ini akan menyebabkan operasi pengangkutan dan pemunggahan barang terbantut, jadi MOT akan menggalas tanggungjawab ini, tambah beliau.
Hamzah dalam satu sidang media hari ini membenarkan pembukaan subsektor gudang darat dan membenarkan untuk menggajikan pekerja asing berkemahiran rendah berdasarkan hasil kajian keperluan penggajian pekerja asing dan penentuan agensi kawal selia bagi subsektor itu yang dijalankan oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Mesyuarat sama turut bersetuju Kementerian Pengangkutan dilantik sebagai agensi kawal selia bagi mengawal selia pengurusan penggajian pekerja asing di subsektor gudang darat dan bersetuju untuk meluluskan permohonan bagi penggajian pekerja asing industri sarang burung walet oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Sementara itu dalam ucapannya, Ka Siong berkata, Malaysia, Indonesia serta Singapura perlu bersatu dalam memastikan Selat Melaka dalam selamat dan bersih susulan hampir 100,000 kapal melintasi laluan perdagangan penting itu setiap tahun.
Menurutnya, Selat itu antara laluan paling banyak digunakan untuk pelayaran antarabangsa dengan membawa anggaran 25 peratus daripada barang dagangan dunia.
Oleh itu, ketiga-tiga negara itu mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan perkapalan dan perlindungan alam sekitar marin di laluan laut yang dikongsi bersama.
Perbincangan tahunan Mekanisme Kerjasama itu adalah usaha sama ketiga-tiga negara dalam membincangkan isu berkaitan keselamatan serta aktiviti perkapalan di Selat Melaka dan Selat Singapura.
Katanya, apa yang berlaku di Selat memberi kesan bukan sahaja kepada negara pesisir malah kesan yang sama terhadap perdagangan dan ekonomi global rantau ini.
“Pandemik telah memberi kesan sama terhadap ekonomi global yang mengalami kemerosotan besar dalam sektor penggunaan dan pengeluaran sejak beberapa tahun lalu.
“Oleh itu rantaian bekalan global terjejas teruk untuk perdagangan antarabangsa dan industri perkapalan dan memerlukan masa untuk pulih daripada permintaan yang perlahan walaupun semua perniagaan sudah dibuka pasca pandemik dan berlaku peningkatan dalam aktiviti import dan eksport yang akan meningkatkan perniagaan sektor perkapalan” katanya. -MalaysiaGazette.