Tindakan beberapa peruncit di Pasar Besar Bachang, Melaka yang dipercayai enggan menjual minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna di negeri ini.

MELAKA – Tindakan beberapa peniaga kedai runcit di Pasar Besar Bachang, di sini, yang dipercayai enggan menjual minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna di Melaka.

Ia susulan aduan diterima wartawan MalaysiaGazette mengenai sikap hampir semua peruncit pasar berkenaan yang memberitahu tidak menjual minyak masak bersubsidi di premis mereka.

Perkara sama turut dilalui wartawan yang membuat penyamaran apabila rata-rata peniaga memberi alasan ‘tiada minyak’ dan ‘tidak tahu kedai mana jual minyak’ walaupun mereka menjual minyak masak paket sebelum ini.

Malah wartawan turut ‘disekolahkan’ atau diperli seorang peniaga yang akhirnya terpaksa akur menjual satu paket minyak masak satu kilogram apabila berulang kali diminta wartawan walaupun dibalas dengan nada sindiran.

“Boleh beli satu paket sahaja sebab semua orang datang beli minyak paket sahaja, lain barang tak beli.

“Satu sahaja, tak boleh beli dua,” kata peniaga berkenaan yang kemudian mencapai minyak masak berkenaan dari dalam satu daripada dua kotak simpanan minyak masak itu.

Tindakan beberapa peruncit di Pasar Besar Bachang, Melaka yang dipercayai enggan menjual minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna di Melaka.

Sebelum itu, tiga buah kedai runcit ditemui wartawan memberitahu tiada minyak masak dijual di situ.

“Minyak masak tak ada jual, tak tahu mana kedai ada jual,” kata beberapa peniaga yang ditemui.

Tindakan itu seolah-olah menunjukkan semua peniaga terbabit sepakat menyuarakan ‘skrip’ sama seperti aduan diterima MalaysiaGazette daripada beberapa pengguna negeri ini.

Pada 21 Jun lalu, kerajaan mengumumkan pemberian subsidi bagi minyak masak jenis paket dengan isipadu 1 kilogram (kg) akan diteruskan kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat.

Subsidi yang ditanggung oleh kerajaan adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi 1 kg sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9 bagi 1kg untuk kegunaan golongan B40. – MalaysiaGazette