Khoo Poay Tiong. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP menjemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hadir ke Parlimen esok bagi mengadakan sesi libat urus dengan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, jemputan itu dibuat susulan kegagalan suruhanjaya tersebut memberi maklum balas kepada DAP untuk mengadakan perbincangan tentang kesediaan SPR berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau mendakwa, sebelum ini parti itu telah menghantar surat permohonan kepada SPR sebanyak tiga kali.

“Kita nak tanya adakah SPR terlalu sibuk sehingga daripada awal hingga hari ini tidak ada jawapan? Adakah mereka terlalu sibuk atau tidak efisien?” soal beliau pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Poay Tiong berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah menghantar kepada SPR berhubung perkara itu pada 5 dan 24 Mei dan 13 Julai lalu.

“Kita (DAP) ingin berjumpa dgn pihak SPR sejak Mei. Surat pertama diutuskan oleh Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang diutuskan pada 5 Mei 2022. Selepas itu SPR melalui kakitangannya ada hubungi pihak kami pada 30 Mei maklumkan tidak sempat, tapi kita faham ada bahawa masing-masing ada urusan dan kita kata bagi satu tarikh baharu.

“Pada 24 Mei kita beri surat lagi. SUA DAP mohon tetapkan tarikh baharu yang bersesuaian dengan SPR tetapi selepas hampir dua bulan kita tidak terima apa-apa jawapan balas.

“Kemudian kita utuskan lagi surat pada 13 Julai, mohon jasa baik SPR maklum balas kepada kita. Tapi sehingga hari ini tidak ada apa-apa jawapan daripada SPR,” jelas beliau.

Terdahulu Poay Tiong berkata, keputusan untuk mengadakan pertemuan dengan SPR susulan saman yang dikemukakan oleh seorang pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana mendakwa suruhanjaya itu gagal menyediakan SOP mengundi bagi pesakit Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata, DAP ingin membangkitkan isu pengundi muda dan persediaan SPR untuk menangani masalah pengundi yang tidak hadir menjalankan tanggungjawab semasa pilihan raya.

Jelas beliau, isu itu penting untuk dibincangkan kerana ia berkaitan dengan hak rakyat sebagai pengundi.

“Kami juga mahu tanya, apa SOP SPR untuk hadapi PRU pada waktu Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) sahkan tadi kita masih bergelut dengan Covid-19.

“Kesimpulannya, kita nak buat supaya SPR jadi badan akauntabiliti, kita harap mereka dapat melaksanakan kerja dengan adil dan saksama,” tambah beliau. – MalaysiaGazette