Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan pembangunan projek rail sedia ada, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Kata beliau, meskipun berlaku kelewatan pembangunan  khususnya melibatkan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL), namun Kementerian Pengangkutan akan berusaha mempercepatkan kerja-kerja pembangunan.

“Kes pembangunan rail, saya ingin nyatakan bahawa kerajaan sekarang meneruskan apa juga perancangan yang sedia ada walaupun kita terlewat contohnya kita sepatutnya siap ECRL pada 2024 tapi sebab ada kekangan tertentu maka kita kena tolak memerlukan projek itu lebih cepat,” katanya di dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN) tentang usaha dan status pembangunan lebuh raya baharu bagi mengurangkan kesesakan terutama ketika cuti panjang dan perayaan.

Ahmad turut bertanyakan rancangan kementerian berkenaan bagi mengurangkan atau menghapuskan tol.

Tambah Wee, kini semua negeri telah bersetuju untuk tidak melengahkan projek pembangunan ECRL yang dijangka siap pada tahun 2024.

“Kita ucap terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kerana sebelum itu 18 bulan tidak diberi kebenaran tetapi selepas berbincang 37 kali dapat persetujuan daripada kerajaan negeri kini semua negeri kita senada, sehati sejiwa untuk kita menyiapkan projek ini mengikut waktu yang dirancangkan walaupun anjak ke belakang sedikit tetapi kesannya adalah bagi yang pulang ke kampung di Kota Bharu mungkin tujuh hingga lapan jam waktu biasa, waktu perayaan pula (Aidilfitri) mungkin 12 jam tetapi ada ECRL akan disingkatkan kepada empat jam sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu memaklumkan Kementerian Kerja Raya sedang melaksanakan rundingan penstrukturan semula lebuh raya bersama pihak syarikat konsesi bagi mencari penyelesaian berkaitan kadar tol ini.-MalaysiaGazette