KOTA TINGGI – Seorang warga emas yang dipercayai telah meninggal dunia sejak dua hari lalu ditemui di kawasan tanah merah berhampiran Lebuhraya Desaru-Senai di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mayat warga lelaki berusia 74 tahun itu ditemui orang awam kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Mayat berkenaan mempunyai kesan kecederaan di beberapa bahagian anggota lelaki dan mangsa merupakan penduduk tempatan .
“Polis telah menerima maklumat pagi tadi selepas menjumpai satu mayat di jalan tanah merah Lebuhraya Desaru.
”Hasil pemeriksaan mayat mungkin sudah hampir dua hari mengambil faktor keadaannya yang belum kembung, belum ada lalat dan dipercayai lelaki ini meninggal dunia belum sampai 48 jam lagi.
“Ada sedikit kecederaan di beberapa tubuh si mati iaitu di kaki, bahagian kepala belakang. Polis akan melakukan siasatan lanjut.
”Jenazah akan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat dan kita akan tahu punca kematian,” katanya kepada media di lokasi berkenaan hari ini.
Polis tidak menolak kemungkinan mangsa mungkin terjatuh namun siasatan masih dijalankan.
Pada masa sama, polis turut tidak menolak kematian lelaki itu disebabkan pergaduhan namun berdasarkan kesan luka, keadaan lokasi yang bercerun, tanah keras berbatu mangsa mungkin terjatuh dan mengalami kecederaan.
Katanya, barang-barang milik mangsa seperti wang tunai, telefon bimbit dan rokok tidak hilang.
Menurutnya, keluarga mangsa sudah dihubungi dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.- MalaysiaGazette