Lembu wagyu bernilai kira-kira RM35,000 seekor mendapat permintaan tinggi penggemar daging segar negara ini.

RAUB – Hasrat kerajaan Pahang menjadikan negeri ini sebagai gedung makanan negara direalisasikan dengan penglibatan ternakan secara komersial sekali gus  dapat merancakkan lagi sektor agromakanan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rodsy Wan Ismail berkata, pihaknya mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan sebagai padang ragut bagi menjayakan projek ternakan kerbau tenusu dan lembu wagyu secara komersial.

Kerajaan negeri optimis  melalui pembangunan projek kerbau tenusu dan lembu wagyu syarikat MIG Dairy Fresh Sdn Bhd di sini bakal menjadikan Pahang sebagai gedung makanan negara.

“Usahawan kecil, sederhana mahu pun syarikat besar diberi keutamaan bagi mengusahakan projek ternakan secara komersial sekali gus strategi kecukupan bekalan daging negara.

“Syarikat MIG Dairy Fresh Sdn Berhad ditawarkan pajakan tanah seluas 704 ekar dengan kos pembangunan sebanyak RM45 juta dan dijangka siap sepenuhnya tahun 2026.

“Lembu wagyu bernilai kira-kira RM35,000 seekor mendapat permintaan tinggi penggemar daging segar di negara ini,” katanya.

Wan Rosdy ketika membuat gimik perasmian majlis program kerjasama Pembangunan Ternakan Lembu Wagyu Tempatan antara MIG Dairy Fresh dan Jabatan Veterinar Pahang di Pusat Genetik Bukit Kajang di Raub hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap pada program kerjasama Pembangunan Ternakan Lembu Wagyu Tempatan antara MIG Dairy Fresh dan Jabatan Veterinar Pahang di Pusat Genetik Bukit Kajang di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Salehudin Ishak.

Sebanyak 100 ekor kerbau tenusu dan lembu wagyu ditempatkan di ladang keloaan oleh syarikat MIG Dairy Fresh Sdn Bhd di Raub.

Sebelum ini, Wan Rosdy berkata, kejayaan projek lembu tenusu oleh Syarikat Farm Fresh Berhad di Lembah Tenusu Muadzam Shah yang berkembang sehingga menjadi pengeluar susu segar utama di Semenanjung Malaysia.

Manakala projek ketiga ternakan lembu dan  kerbau  komersial di negeri ini akan dilaksanakan di kawasan tanah kerajaan seluas 300 ekar di Tanjung Gahai, Lipis.

Kerajaan Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM17.09 juta  menerusi pelbagai program dan insentif kepada warga penternak dan industri hiliran sebagai suntikan semangat menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2022. – MalaysiaGazette