Beginilah keadaan Rumah Bonda di Setapak yang dibuka semula hari ini selepas tindakan lak terhadap premis berkenaan diambil pada 12 Julai tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kesal selepas melihat keadaan premisnya berselerak dan disyaki telah dipecah masuk apabila mendapati banyak barang telah hilang.

Peguamnya, Hafidzah Hassan berkata, anak guamnya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat susulan terdapat kesan pecahan cermin di loteng premis berkenaan.

“Bila kita masuk rumah nampak seperti keadaan dipecah masuk, kita tengok ada cermin tingkap yang sudah hilang. Jadi, Siti Bainun akan buat laporan polis dahulu untuk periksa kehilangan beberapa barang,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebelum itu Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) diarahkan oleh Mahkamah Majistret di sini untuk menanggalkan lak yang dilekatkan di premis berkenaan sejak 12 Julai tahun lalu.

Keadaan Rumah Bonda di  Setapak yang dibuka semula hari ini selepas tindakan lak terhadap premis berkenaan diambil pada 12 Julai tahun lalu.

Kediaman itu ditutup sebelum ini selepas pendakwaan terhadap Siti Bainun atas dakwaan mendera salah seorang penghuninya, Bella yang juga anak orang kelainan upaya baru-baru ini.

Sementara itu, tambah Hafidzah, Rumah Bonda akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat bagi penghuni yang ingin mengambil semula barangan yang tertinggal di dalam premis berkenaan sebelum ini.

“Selepas siasatan polis dan penghuni datang ambil barang nanti, baru kita mulakan proses mengemas rumah sebab kita tidak mahu terlibat dengan barang-barang yang hilang,” ujarnya lagi.

Jelas Hafidzah, walaupun premis masih tidak dibenarkan beroperasi sebagai pusat jagaan tetapi anak guamnya itu akan meneruskan kerja-kerja kebajikan lain termasuk membantu gelandangan.

“Bila mahkamah beri kebenaran untuk dibuka semula kecuali untuk dijadikan pusat jagaan, maka saya sambut baik keputusan itu sebab kita masih boleh buat foodbank, bekalkan barangan bantuan untuk yang memerlukan.

“Sebenarnya Rumah Bonda banyak fungsinya, kita bagi susu, lampin bayi, masak untuk beri kepada gelandangan, buat foodbank untuk asnaf, jadi semua ini masih boleh diteruskan,” ulasnya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan permohonan pengasas Rumah Bonda untuk menanggalkan lak dengan aku janji premis tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan seperti mana peruntukan di bawah Seksyen 16A Akta 506.

Bagaimanapun, JKMWPKL berkata, sekiranya didapati premis tersebut beroperasi semula sebagai pusat jagaan tanpa pendaftaran yang sah di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506), tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pengendali. – MalaysiaGazette