Peguam, Gobind Singh Deo hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mencari kes untuk mendakwa anak guam mereka.

Ahli Parlimen Muar itu kini berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram.

Peguamnya, Gobind Singh Deo berkata, Pegawai Penyiasat SPRM, Muhamad Khairi Muhamad Rodi pada asasnya tidak mempunyai kes ke atas Syed Saddiq.

“Saya katakan ini adalah salah guna kuasa oleh anda dan SPRM hanya mencari kes ke atas Syed Saddiq. Adakah siasatan ini hanya untuk kenakan Syed Saddiq?” soalnya.

Namun Muhammad Khairi menolak dakwaan salah guna kuasa dalam siasatannya sebaliknya menjelaskan tujuan siasatan dibuat untuk mencari sumber kehilangan wang dari rumah tertuduh selepas menerima aduan.

“Saya tidak bersetuju,” kata saksi pendakwaan ke-23 itu hari ini.

Beliau memberitahu, segala arahan dan arahan dalam kes tersebut diperolehi daripada pihak atasan dan siasatan mengikut akta yang ditetapkan

Ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, adakah siasatan berkenaan semata-mata untuk mengenakan Syed Saddiq, Muhamad Khairi menafikannya sama sekali.

“Kami hendak mengesahkan ada atau tidak kesalahan di bawah akta SPRM disebabkan itu tiada di seksyen yang terperinci diletakkan pada mula aduan dibuka,” katanya.

Pada 21 Jun lalu, Mahkamah Tinggi diberitahu pegawai SPRM meminta ibu Syed Saddiq menasihatkan anaknya untuk menyokong kerajaan ketika itu supaya beliau dan suaminya tidak disoal siasat.

Perkara itu dimaklumkan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz pada perbicaraan hari pertama kes anaknya itu.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama peguamnya, Gobind Singh Deo hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 05 JULAI 2022.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. (pertuduhan pindaan kedua)

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram

Perbicaraan akan bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast