Ahli korporat hartanah terkenal, Mohamad Azlan Al Amin bersama peguam, Datuk Naran Singh di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini membenarkan ikat jamin seorang suri rumah yang dituduh mencuri dua peket Milo di sebuah pasar raya pada 25 Mei lalu.

Sebelum ini, tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan setelah mengaku kesalahannya di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Marang pada 5 Julai lepas.

Bagaimanapun keadaan wanita itu juga mempunyai anak-anak yang kecil mendapat perhatian ahli korporat hartanah terkenal, Mohamad Azlan Al Amin atau lebih terkenal dengan nama jolokan Jutawan Sampah.

Beliau kemudian melalui peguamnya, Datuk Naran Singh  berjaya mendapatkan ikat jamin sebanyak RM8,000 yang akan dibayar oleh Mohamad Azlan sendiri.

Ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, Mohd Azlan berkata, walaupun daripada awal lagi beliau tidak bersetuju  perbuatan mencuri mahu pun penglibatan tertuduh dengan masalah sosial namun apabila difikirkan keadaan anak-anak wanita tersebut, beliau tampil membantu.

“Pagi ini, Mahkamah Majistret Marang tidak mengizinkan sebarang penangguhan hukuman bagi tertuduh tetapi syukurlah Datuk Naran (peguamnya) dengan segera telah memohon dengan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bagi proses rayuan.

“Syukur alhamdulilah, kita dibenarkan buat rayuan jaminan. Mahkamah telah tetapkan sebutan semula kes pada 6 September depan.

“Sekali lagi saya katakan, salah tetap salah dan saya tidak pernah halalkan perbuataan seperti ini. Namun saya tampil membantu kerana mahu wanita ini diberikan peluang untuk memperbaiki apa yang salah itu.

“Paling penting, saya simpati dengan nasib anak-anak yang kecil yang begitu perlukan perhatian ibunya. Semoga ini menjadi ruang keinsafan buat tertuduh untuk membetulkan kesilapan lampau. Kita semua tidak terlepas dari melakukan kesalahan termasuklah saya,” katanya.

Pada 6 Julai lepas,  tertuduh dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Marang atas kesalahan mencuri dua peket Milo bernilai RM73 dan keputusan itu mendapat perhatian Mohamad Azlan yang mengemukakan permohonan rayuan penangguhan rayuan pada 8 Julai lalu.

Mohamad Azlan tergerak untuk segera tampil membantu suri rumah, Suhaini Mohd, 43 yang kini sudah ditempatkan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Difahamkan juga, pada prosiding sama, Naran memohon penangguhan dua kes berkaitan dadah membabitkan tertuduh sebelum ini.

Kes pertama tertuduh dijatuhkan hukuman 10 bulan dan kedua pula lapan bulan serta hukuman tersebut berjalan serentak dengan kes mencuri Milo selama 14 bulan.

Majistret Engku Nurul Ain membenarkan Suhaini yang juga ibu kepada empat anak dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,000 dan seorang penjamin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Perbuatan curi Milo tetap salah tapi kasihan pada anak-anak kecil OKT – Hartawan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast