Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pada sesi pagi sedikit tegang apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berang dengan tindakan kerajaan yang membiarkan tauke-tauke besar menyelenggara masalah yang dihadapi pesawah padi di negara ini.

Anwar dengan tegas berkata, kerajaan sepatutnya membiarkan persatuan peladang campur tangan dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi pesawah-pesawah.

“Biar persatuan peladang sendiri bantu mengapa nak suruh tauke besar senggara masalah pesawah padi? soal Anwar yang mahu perkara itu disemak semula kerana sudah berpuluh-puluh tahun berlaku.

Gesaan itu dibuat Anwar selepas Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee yang menjawab pertanyaan lisan pertama dewan daripada Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang bertanya tentang cabaran dihadapi sektor agromakanan untuk memastikan rantaian belakan makanan negara kekal stabil dan lancar.

Ronald yang menjawab pertanyaan itu berkata, kerajaan kini telah mewujudkan pelbagai jawatankuasa, antaranya Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Makanan (FACC), Jawatankuasa Teknikal Bagi Menangani Isu Keselamatan Negara, Jawatankuasa Khas Pasukan Jihad menangani Inflasi semata-mata bagi memastikan isu bekalan makanan dapat ditangani negara.

“Bagi MAFI beberapa langkah jangka pendek telah diambil yang berorientasikan kepada tiga intervensi iaitu perdagangan, pengeluaran dan pengguna.

“Antaranya langkah jangka pendek adalah membatalkan kuota import barang makanan daripada luar negara seperti ayam, gula. Melaksanakan stok pemimbal ayam dan stok produk ikan.

“Malah kita juga mempermudahkan pembayaran subsidi untuk memastikan pengeluaran ayam stabil,” jawab Ronald lagi.

Anwar dalam pada itu berkata, langkah yang dilaksanakan oleh MAFI adalah bertentangan dengan Dasar Keselamatan Makanan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, aktiviti monopoli syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengimport beras adalah salah.

“Mengapa tidak boleh dibantu petani melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). Mengapa diteruskan dasar monopoli dan memberikan keperluan piham yang kaya mengaut keuntungan padahal kita bicara usaha mengurangkan beban ke atas rakyat.

“Hentikan monopoli import beras supaya petani dan pesawah padi mendapat manfaat langsung,” katanya lagi. – MalaysiaGazette