MELAKA – Sifat simpati seorang pemandu memberi laluan kepada sebuah kenderaan lain ketika melalui jalan sempit bertukar tragedi apabila keretanya terjunam ke dalam sungai petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, pemandu lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun berjaya keluar menyelamatkan diri dari kereta Mercedes Benz E250 dipandunya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Batu Berendam menuju Taman Kerjasama, Bukit Beruang melalui Jalan Sungai Nibong.
“Semasa mangsa melalui jalan tepi sungai itu, pemandu terbabit telah memberi laluan kepada kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa cuba beralah dengan rapat ke bahu jalan tepi sungai untuk memberi laluan namun tiba-tiba kenderaannya tergelincir masuk ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Christopher, mangsa bagaimanapun berjaya keluar dari kereta tersebut untuk menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette