GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam memastikan kegiatan lumba haram di negara ini dibanteras secara keseluruhannya.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan kegiatan lumba haram telah lama berleluasa namun tiada penyelesaian kukuh diambil bagi menangani masalah sosial itu.
“Berdasarkan kejadian kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu pada Ahad lalu, sudah tiba masanya kerajaan dan pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian yang kekal terhadap kegiatan terbabit.
“Kebanyakan mat rempit ini adalah golongan belia dan melakukan semua aksi berbahaya ketika menunggang motosikal tanpa mengambil kira keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Selain itu, mereka yang ditahan kerana terlibat dalam lumba haram juga perlu diarah menjalankan tugas sosial di bawah Perintah Kerja Pemulihan (CWO) seperti yang dilakukan di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Mohideen, mat rempit juga dilihat cenderung untuk mengubah suai motosikal mereka menjadi mesin lumba.
Jelasnya, kerajaan perlu bertindak tegas dengan tidak membenarkan pengusaha kedai mahupun bengkel motosikal daripada melakukan sebarang pengubahsuaian.
“Pasukan petugas pelbagai agensi perlu ditubuhkan untuk mempertimbangkan perbuatan mengubahsuai motosikal sebagai satu kesalahan jenayah.
“Selain itu, pihak berkuasa juga perlu lebih tegas dengan merampas motosikal yang telah diubahsuai dan terlibat dalam aktiviti lumba haram,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohideen turut menasihati ibu bapa agar bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka dan mengambil tahu apa yang dilakukan khususnya pada waktu malam. – MalaysiaGazette