Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia menyelar pandangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari untuk memberi insentif kredit karbon kepada negeri yang masih mempunyai banyak hutan simpan.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pandangan itu baik, tetapi lebih kepada bersifat jangka pendek dan hanya sekadar populis.

Kata beliau, dengan keadaan bencana banjir semakin teruk sejak setahun dua ini sepatutnya pelan menangani banjir bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah negeri juga perlu dimantapkan.

“Kelantan contohnya, sering dipersalahkan kerana berlaku pembalakan haram, komersial dan tidak terancang perlu membuat satu dasar tegas bagi menjaga nyawa rakyat serta biodiversiti di kawasan hutan simpan dengan mengharamkan pembalakan sekurang-kurangnya bagi tempoh 50 tahun.

“Seperti dakwaan Ahmad Fadhli, hutan simpan di Kelantan antara yang terbesar. Semua orang sedar kenapa ia masih banyak, kerana tiada pembangunan besar pun dilaksanakan di negeri itu.

“Walaupun lebih 30 tahun Pas memerintah, pembangunan yang perlahan membolehkan jumlah hutan simpan masih banyak, tetapi malangnya pembalakan haram masih tidak mampu dikawal,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Kelmarin, Ahmad Fadhli dilaporkan cuba mempertahankan beberapa negeri termasuk Kelantan yang sering dikritik kerana aktiviti pembalakan yang dijalankan.

Kata Ketua Pemuda Pas itu, walaupun dikecam teruk, negeri terbabit sebenarnya masih mempunyai kawasan hutan simpan “yang sangat banyak”.

Lebih daripada itu, katanya, negeri yang dikritik itu juga sebenarnya bertindak sebagai paru-paru kepada negara.

Menurut Nasrul Ali Hasan, ada pendedahan mengenai pembalakan haram yang berlaku itu wujud campur tangan dan penglibatan pemimpin tertentu di negeri itu.

Malah, ujarnya, jumlah hutan simpan yang banyak pula bukan lesen untuk menghalalkan pembalakan.

“Sepatutnya sebagai pemimpin muda, beliau perlu melihat lebih jauh bagi menjaga aset alam semula jadi di Kelantan supaya tidak dijarah dengan kerakusan kapitalis.

“Ambil contoh Thailand yang serius dan tegas dalam menjaga hutannya, mana-mana individu yang ditangkap melalukan pembalakan akan dihukum mati.

“Kerajaan Persekutuan dan negeri di Malaysia patut melakukan perkara (hukuman) yang sama,” katanya.

Nasrul Ali Hasan menjelaskan, cadangan mempertingkatkan kemudahan berteknologi untuk kegunaan renjer hutan bagi pengawasan yang lebih efektif adalah baik.

Selain itu, kata beliau, sistem pelaporan juga perlu dipertingkatkan agar lebih tepat dan ‘real-time’ supaya dapat dikenal pasti mana-mana kawasan berlaku pencerobohan hutan setiap hari dan tindakan segera yang tegas boleh diambil. – MalaysiaGazette