LONDON – Jenama mewah yang berpangkalan di UK, Manolo Blahnik memenangi hak untuk menggunakan namanya di China selepas pertikaian undang-undang yang berpanjangan.
Pembuat kasut mewah itu tidak beroperasi di China selama lebih 20 tahun, selepas seorang ahli perniagaan tempatan mendapat hak tanda dagang atas nama itu.
Fang Yuzhou mendaftarkan tanda dagangan “Manolo & Blahnik” dan seolah-olah menjual kasut di bawah jenama itu.
Stiletto yang menjadi identiti Manolo Blahnik terkenal dalam kalangan pelanggan selebriti dalam siri televisyen Sex and the City.
Dalam satu kenyataan pada hari Selasa, syarikat itu – yang menggunakan nama pengasasnya dari Sepanyol, Manolo Blahnik berkata, ia telah memenangi kes tersebut di Mahkamah Agung China, yang merupakan mahkamah tertinggi di negara itu.
Manolo Blahnik telah membuat beberapa rayuan sejak tahun 2000 untuk menggunakan namanya di China, yang menjadi salah satu pasaran pengguna terbesar di dunia.
Ketua eksekutif syarikat itu, Kristina Blahnik, yang merupakan anak saudara Blahnik berkata, keputusan ini adalah “kemenangan yang bermakna untuk bapa saudara saya, keluarga dan pasukan kami”.
Jenama itu merancang untuk mula menjual kasutnya di China tahun depan, kata Blahnik kepada akhbar Financial Times.
“Kami tidak akan berlumba dengan roket untuk ke China, tetapi berjalan perlahan-lahan,” katanya. – BBC