KUALA LUMPUR – Perodua Alza model baharu menerima lebih 30,000 tempahan sejak pembuat kereta kompak itu membuka tempahannya pada 23 Jun lalu, tertinggi dalam sejarah jenama tersebut.
Peningkatan tempahan itu kerana para pelanggan ingin memanfaatkan sepenuhnya inisiatif pengecualian cukai jualan yang akan tamat tempoh pada 30 Jun 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, daripada lebih 200,000 tempahan yang diterima buat masa ini, hampir 15% adalah model Perodua Alza baharu.
Majlis pelancaran rasmi Perodua Alza itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Faktor lain adalah daya tarikan nilai keseluruhan pakej Perodua Alza baharu yang menampilkan ciri keselamatan yang dipertingkatkan seperti enam beg udara, ciri bantuan keselamatan termaju, tawaran digital yang dipertingkatkan, ruang yang luas dan keselesaan pemanduan yang lebih baik.
Zainal berkata, hampir 4,000 pelanggan telah menukar tempahan Perodua Alza mereka kepada versi terkini walaupun sebelum pembukaan tempahannya diumumkan secara rasmi.
Beliau memberi jaminan para pelanggan yang menempah Perodua Alza pada atau sebelum 30 Jun, akan menerima kenderaan mereka sebelum tarikh akhir 31 Mac 2023.
Perodua Alza baharu dijual secara rasmi pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk varian AV (harga di Malaysia Barat dan tanpa insuran). – MalaysiaGazette