Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana dituduh cuai membayar pampasan terhadap warisan Kesultan Sulu melukakan hati anggota keselamatan yang terkorban ketika serangan anggota pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, laporan polis tersebut seolah-olah mengiktif serangan yang dilakukan oleh waris Kesultanan Sulu hingga menyebabkan 12 perwira negara terkorban mempertahankan tanah air.

“Laporan polis dibuat kerana Najib henti bayar pampasan kepada waris Sultan Sulu RM5,300 setahun.

“Maksudnya Rafizi iktiraf serangan terhadap Lahad Datu. Luka hati keluarga anggota keselamatan yang terkorban,” katanya.

Lebih 100 ahli PKR diketuai Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis terhadap Najib semalam bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat bekas Perdana Menteri itu berhubung keputusannya menamatkan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu.

Dakwanya keputusan itu menyebabkan Kumpulan Sulu mengheret Malaysia ke proses timbang tara pada Februari, yang menyaksikan mahkamah Perancis memerintahkan Malaysia membayar pampasan kira-kira AS$15 bilion (kira-kira RM67 bilion).

Menurut hantaran yang disiarkan di Facebook Rafizi, laporan itu dibuat bagi menggesa polis menyiasat dakwaan kecuaian Najib semasa memegang jawatan dengan menghentikan pembayaran tahunan RM5,300 kepada waris Kesultanan Sulu.

Tindakan itu dikatakan telah meletakkan negara berisiko terpaksa membayar berbilion ringgit sebagai pampasan kepada pewaris Kesultanan Sulu.

Pada 2013, Najib ketika menjawat jawatan Perdana Menteri telah menghentikan pembayaran pampasan kepada Waris Kesultanan Sulu selepas mereka menyerang Lahad Datu.

Krisis pencerobohan Lahad Datu menjadi tumpuan apabila dua orang anggota keselamatan negara ditembak mati pada 1 Mac selepas pertempuran tercetus dengan sekumpulan kecilĀ  penceroboh Sulu ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.

Ekoran serangan itu 12 anggota keselamatan negara terbunuh dan menyebabkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

Ekoran itu peristiwa berdarah itu, seramai 416 individu ditahan termasuk 110 orang disiasat di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Pada 8 Jun 2018, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas sembilan pengikut Sultan Sulu warga Filipina yang terlibat dengan pencerobohan bersenjata Lahad Datu berkenaan.-MalaysiaGazette