Ketua Jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh menunjukkan trofi selepas merangkul Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK19) di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh dilantik sebagai ketua jurulatih interim Sri Pahang sehingga akhir musim ini mengambil alih tugas Christophe Gamel yang tidak disambung perkhidmatannya atas persetujuan bersama.

Sri Pahang FC (SPFC) dalam kenyataannya turut mengumumkan pelantikan Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal.

Bekas pemain dan jurulatih dari seberang tambak itu akan bersama Dollah membentuk skuad lebih mantap selepas ini.

Fandi bukan nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang kerana beliau pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua musim dan merupakan anggota skuad kejuaraan berganda Liga Premier dan Piala Malaysia 1992.

“Semoga kepakaran dan pengalaman Fandi akan memanfaatkan pasukan Sri Pahang,” kata kenyataan itu hari ini. – MalaysiaGazette