KUALA LUMPUR – Kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL – Singapura menunjukkan pemikiran negarawan itu terhadap ekonomi sudah terbelakang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah tidak tepat untuk mengatakan projek HSR merugikan negara.
Menurut Asyraf Wajdi, HSR adalah antara penyelesaian bagi masalah kerugian ekonomi akibat masalah kesesakan di ‘Greater Kuala Lumpur’ yang mencecah RM20 bilion setahun seperti yang dilaporkan oleh Bank Dunia pada 2014.
“HSR adalah antara penyelesaian yang sangat praktikal bagi masalah ini dengan mewujudkan reverse migration.
“Yang mana pekerja di Lembah Klang tidak perlu tinggal di kawasan berkenaan sebaliknya boleh berpindah ke daerah lain seperti Muar.
“Walaupun jaraknya jauh, tetapi dengan HSR perjalanan antara dua kawasan ini adalah kurang 45 minit,” kata Asyraf Wajdi.
Menurutnya, projek infrastruktur awam seperti HSR adalah kunci kepada kewujudan pekerjaan dan memulihkan semula ekonomi.
Malah negara seperti Amerika Syarikat (AS) menggunakan pendekatan sama sebanyak dua kali dan berjaya mengatasi kemelesetan ekonomi yang dialami negara tersebut.
“Kali pertama pada tahun 1930 (Great Depression) yang mana negara tersebut melancarkan projek infrastruktur awam besar-besaran termasuklah pembinaan Hoover Dam dan Bay Bridge.
“Pada krisis ekonomi 2009 pula, AS meluluskan American Recovery and Investment Act 2009 yang mengandungi pakej pembinaan infrastruktur awam bernilai AS$85 bilion.
“Semua ini sebenarnya mencipta pekerjaan, mewujudkan ripple effect kepada perniagaan sedia ada, menambah peluang pendapatan kepada rakyat dan akhirnya meningkatkan hasil negara,” kata Asyraf Wajdi.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak boleh takut berbelanja dan wajib menambah perbelanjaan bagi pembangunan negara dan bantuan kepada rakyat.
Sekiranya kerajaan mahu membuat penjimatan ia boleh dilakukan melalui pemotongan elaun perjalanan luar negara, kemudahan menteri dan pegawai tinggi serta tidak membuat majlis dan sambutan kerajaan yang bersifat tidak mendesak.
“Bukannya dengan menyekat belanja pembangunan atau mengurangkan subsidi yang akhirnya memangsakan rakyat
“Dasar austerity (jimat-cermat) telah terbukti gagal memulihkan perbendaharaan negara ketika krisis ekonomi serantau 1998.
“Tetapi dasar memperkayakan rakyat melalui Bajet Mini 2009 telah berjaya mengeluarkan negara kita daripada krisis ekonomi global dalam masa yang cepat,” katanya.
Semalam, dalam kritikan terbaharu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr. Mahathir berkata, HSR hanya menjimatkan masa jika ia menempuh jarak yang jauh.
“Untuk jarak pendek masa yang dijimatkan adalah tidak penting. Dan HSR sangat mahal.
“Ya, kita perlu membayar RM320 juta kepada Singapura. Itu kerana Najib membuat perjanjian bodoh itu. Meneruskannya akan lebih mengurangkan perbendaharaan, pada masa kita perlu membayar wang untuk pinjaman Najib,” kata Dr. Mahathir.-MalaysiaGazette