PH PTPTN
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) memaklumkan pihaknya sudah mengusulkan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian mengenai Pendanaan Politik.

Ia telah diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu, kata pengerusinya, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Menurutnya, usul berkenaan bertujuan bagi mengukuhkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam isu dana politik dalam negara.

“Kita mengharapkan RUU ini diberikan laluan, dapat dibentangkan secepat mungkin di Dewan Rakyat dan memohon sokongan serta kerjasama dari semua ahli Parlimen, senator dan masyarakat sivil.

“Ini menunjukkan bagaimana seriusnya kita untuk menjadikan RUU ini sebagai satu kenyataan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini yang turut dihadiri timbalannya, Ahmad Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai).

Dalam pada itu, Fahmi pula berkata, RUU persendirian amat jarang dibawa dalam sejarah Parlimen di negara ini.

“Setidak-tidaknya niat kami ialah menyediakan satu draf yang semestinya telah diterima senaskhah oleh menteri-menteri yang berkaitan.

“Daripada situ, kita harap yang mana baik boleh diguna pakai dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada rang undang-undang,” katanya.

Ketua Penerangan PKR yang baharu itu turut berkata, pihaknya percaya usul bagi membentangkang RUU Pendanaan Politik ini antara penambahbaikan atau reformasi yang perlu ke dalam Parlimen.

“Bukan setakat pendanaan politik, anti lompat parti tetapi banyak yang perlu kita lakukan untuk pastikan suasana demokrasi di Malaysia bertambah baik.

“Dengan adanya rang undang-undang pendanaan politik, kita dapat pastikan kes yang kita dengar sekarang ini tidak berlaku pada masa depan,” tegas Fahmi lagi.

Dalam pda itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula berkata, sebagai sebuah parti yang baharu ditubuhkan, pihaknya gembira dapat terlibat dalam RUU persendirian ini.

Mukhriz (Pejuang-Jerlun) berkata, parti-parti baharu seperti Pejuang akan tertakluk di bawah RUU yang sama.

“Kita harap akan ada pendekatan untuk meratakan ‘padang permainan’ itu supaya semua parti-parti politik yang terlibat dalam pilihan raya mempunyai peluang yang sama dan kita bersaing dari segi idea serta kudrat untuk membawa kebaikan bagi negara kita,” jelasnya.

Antara kandungan RUU persendirian berkenaan adalah jumlah maksimum pendermaan yang dibenarkan daripada seorang adalah RM50,000, daripada suatu syarikat RM100,000 dan daripada suatu kumpulan syarikat RM500,000 dalam satu tahun kewangan. – MalaysiaGazette