Surina (tiga dari kanan) menunjukkan 300kg ganja bernilai RM750,000 yang dirampas dalam milikan sepasangan kekasih di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada sidang media di IPD Seberang Perai Tengah hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Sepasang kekasih ditahan bersama 300 kilogram (kg) ganja yang dianggarkan bernilai RM750,000 di sebuah rumah di Taman Impian di sini pada 16 Julai lalu.

Bertindak atas maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perlis dengan kerjasama JSJN Bukit Aman serta  Pulau Pinang telah menyerbu rumah berkenaan yang membawa kepada penemuan 144 ketulan mampat ganja yang diseludup masuk dari Thailand.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pemeriksaan turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 41 tahun serta kekasihnya, 37, yang juga warga Indonesia di rumah itu pada pukul 9 malam.

Surina (tengah).

Jelas beliau, siasatan mendapati ganja tersebut diseludup masuk melalui jalan laut dari negara jiran sebelum dibawa menggunakan pengangkutan darat dari Perlis ke Pulau Pinang.

Kata Surina, siasatan lanjut juga mendapati ganja tersebut dibawa oleh transporter menggunakan van persendirian sebelum diserahkan kepada pasangan kekasih tersebut.

“Kesemua ketulan mampat ganja itu disembunyikan dalam 12 kotak polisterin yang mana setiap satu kotak mengandungi 24 ketulan sebelum dihantar ke rumah sewa pasangan kekasih itu.

Surina (dua dari kanan) menunjukkan ketulan mampat ganja yang sembunyikan dalam kotak polisterin untuk mengaburi mata pihak polis.

“Malah ketika serbuan, pihak polis menemui  ganja 300 kg ganja bernilai RM750,000 itu disembunyikan di kawasan rumah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu, sebuah motosikal bernilai RM2,800.

Tambah Surina, kesemua ganja yang dirampas itu untuk pasaran Lembah Klang dan polis percaya Pulau Pinang dijadikan lokasi transit.

“Kita percaya pasangan kekasih ini merupakan ahli sindiket dadah namun siasatan mengenai tempoh penglibatan mereka masih dalam siasatan.

Kesemua ganja tersebut untuk pasaran Lembah Klang.

“Pasangan kekasih itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian air kencing terhadap mereka juga negatif dadah.

“Bagaimanapun, semakan ke atas wanita Indonesia itu mendapati dia tiada mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan membantu perniagaan kekasihnya iaitu membaiki bot nelayan tempatan,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Surina menegaskan, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, pihaknya merampas 364 kilogram ganja yang diseludup masuk melalui sempadan negeri Perlis.

“Selain itu, seramai 16 individu turut ditahan membabitkan kes sama. Polis Kontinjen Perlis akan terus berusaha memastikan kegiatan penyeludupan dadah melalui sempadan disekat sepenuhnya manakala sindiket pengedaran dadah yang ditahan akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – MalaysiaGazette