Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan kerajaan berhati-hati dengan dasar untuk mengurangkan subsidi petrol terutama dalam jangka masa terdekat.

Beliau berkata,  pemilihan waktu yang tepat adalah kritikal dalam sebarang dasar yang hendak dilaksanakan termasuk pengurangan subsidi petrol.

Jelas beliau, banyak dasar yang baik dan perlu telah ditolak dan ditentang habis-habisan oleh rakyat kerana diumumkan pada waktu dan situasi yang tidak betul dan tidak sesuai.

Mohamad memberi amaran, sekiranya kerajaan menarik balik subsidi petrol dalam masa terdekat, ia ibarat mencurahkan minyak ke dalam api yang pasti akan menyebabkan kemarahan rakyat.

“Namun, kerajaan juga mesti melihat kesesuaian dan timing yang strategik untuk melakukan semua itu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang.

“Kita tidak boleh terus melakukan kesalahan perhitungan dalam perkara paling dasar dan penting seperti ini. Apa lagi mengambil langkah populis.

“Kalau subsidi minyak petrol hendak dikurangkan dalam masa terdekat ni, jawabnya seperti mencurahkan minyak petrol ke dalam api kemarahan yang sedang marak,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad mengulas mengenai isu subsidi bersasar terutamanya subsidi minyak petrol yang banyak dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

Nilai subsidi petrol dikatakan hampir mencecah RM80 bilion dan subsidi tersebut bersifat blanket atau umum dilihat banyak memanfaatkan kepada golongan bukan sasaran.

Kumpulan perpendapatan tinggi dan golongan kaya dan mereka yang memerlukan sama-sama menikmatinya subsidi tersebut pada kadar sama.

Mohamad bersetuju subsidi yang bersifat umum seperti pemberian subsidi petrol kepada semua bukan satu dasar yang baik dan perlu dirombak dan tidak boleh diteruskan.

Namun pengubahsuaian tersebut tidak sewajarnya dilaksanakan pada waktu ini kerana pasatinya akan menyebabkan Kerajaan yang memerintah dibenci oleh rakyat.

“Kerajaan akan terus dipersalahkan dalam segala macam hal dan beban yang sedang ditanggung rakyat.

“Keputusan sebegitu tidak ubah seperti tikus membaiki labu. Masalah di tangan tidak selesai, musibah baharu pula yang kita undang,” katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu, dasar ekonomi dan polisi negara tidak boleh dipacu perkiraan ringgit dan sen semata-mata.

Tambahan pula dengan masyarakat Malaysia yang rencam dengan pelbagai latar dan ragam.

Sebarang dasar yang mahu dirombak dan diperkenalkan mesti mempunyai nilai ihsan dengan sisi mendidik dan memberi kesedaran yang tidak bersifat paksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast