KUALA LUMPUR – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LlMA) dijangka membuat kemunculan semula secara besar-besaran pada Mei tahun depan.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, penganjuran acara dwitahunan itu susulan pembukaan sempadan negara sepenuhnya membolehkan ia dilakukan seperti biasa sebelum pandemik Covid-19.
“Susulan kerumpangan tiga tahun selepas penganjuran LIMA 19, bukan sahaja kerajaan dan pihak penganjur bersiap sedia sepenuhnya.
“Malah pempamer, delegasi asing dan orang ramai begitu teruja dan tidak sabar menantikan LIMA 2023,” katanya sidang media bersama di Pertunjukan Udara Farnborough 2022 (FIA 2022) di United Kingdom kelmarin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.
LIMA 2023 akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei 2023 di Langkawi.
Menurut Affendi, LIMA 2023 bakal menjadi acara paling popular di rantau ini selepas edisi terakhir LIMA 19 memandangkan edisi 2021 terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.
“Siri pameran LIMA yang membuat penampilan sulung pada 1991 telah menempuh pelbagai pengalaman sejak 30 tahun lepas. Kini ia telah diangkat sebagai acara terbesar dan paling popular serta dinanti-nantikan di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Sementara itu, Isham berkata, penyertaan Malaysia dalam FIA 2022 merupakan platform terbaik untuk memulakan kempen promosi selama 10 bulan bagi LIMA 2023.
“Ia membabitkan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd sebagai penganjur dilantik bagi LIMA 2023 yang akan membuat pameran di Pavilion Malaysia MATRADE.
“Sebanyak 14 syarikat Malaysia dan tiga agensi kerajaan mengambil bahagian dalam acara lima hari itu yang berakhir pada Jumaat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette