SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan membentangkan pelan rancangan lima tahun Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Rabu ini.
Pelan yang dinamakan Rancangan Selangor Satu (RS-1) itu merupakan agenda kerajaan negeri memperkukuhkan ekonomi dan kebajikan rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pembangunan dokumen RS-1 telah dibuat secara komprehensif dan terangkum serta bersifat ‘living document’ yang mampu menangani cabaran baharu.
Menurut Amirudin, RS-1 turut menekankan pemacuan kelestarian bagi memulihara alam sekitar, selain tadbir urus pintar serta berkesan dengan libat urus bersama pemegang taruh juga orang awam.
DUN Selangor bersidang dari 25 Julai hingga 5 Ogos ini dan akan disiarkan secara langsung menerusi medium sosial kerajaan negeri itu.
Sidang DUN itu juga dijangka menyaksikan perbahasan mengenai usaha kerajaan negeri menangani kenaikan harga makanan, isu kemudahan sukan, persediaan menghadapi bencana dan alam sekitar.
Turut dibahaskan isu kesihatan, perubahan iklim, pembuangan sampah haram dan usaha menjaga kepentingan rakyat.
RS-1 memfokuskan empat prinsip utama merangkumi ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus bagi menjayakan agenda Negeri Pintar menjelang 2025.
Kerangka jelas berkenaannya akan dimaklumkan ketika pelancarannya pada 27 Julai ini. – MalaysiaGazette