PONTIAN- Eksport biji dan produk koko dijangka terus meningkat pada tahun ini dipacu oleh permintaan terhadap produk tempatan di pasaran luar negara.
Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, eksport biji dan produk koko berjumlah RM3.02 bilion berbanding RM2.77 bilion bagi tempoh sama pada tahun 2021, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun ini.
“Sudah tentu saya yakin sehingga akhir tahun ini jumlah nilai eksport biji dan produk koko akan meningkat dan dapat mengatasi jumlah yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu sebanyak RM6.87 billion,” katanya pada sidang media selepas perasmian Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai di Pekan Nanas hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Rahimah Majid.
Menurut beliau, produk berasaskan koko seperti serbuk koko mempunyai permintaan luas terutama di negara Timur Tengah dan Asia Tenggara, selain di peringkat antarabangsa.
Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, kementerian turut melatih usahawan tempatan mengeluarkan coklat menerusi Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai yang dibangunkan bersama Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia ( IMPAC).
Selain itu, Lembaga Koko Malaysia (LKM) turut mewujudkan program pembangunan usahawan coklat sejak 1998 dengan menyediakan latihan, insentif peralatan dan mesin dan khidmat nasihat.
“Sehingga kini program ini telah membangunkan seramai 242 usahawan coklat buatan tangan. Jumlah usahawan dijangka terus meningkat 282 orang pada akhir 2025.
“Pada tahun lepas, sektor usahawan coklat dan konfeksi koko telah menyumbang sebanyak RM5.55 juta dan dijangka terus meningkat kepada RM12.5 juta sehingga akhir 2025,” katanya.- MalaysiaGazette