Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berucap pada Program Jelajah Harapan Selangor di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) digesa supaya berhenti bertelagah antara satu sama lain.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Abdul Samad menggesa supaya perbalahan antara parti dalam PH tidak diseret ke media sosial.

Dalam ucapan pada program Jelajah Harapan Selangor siri ketiga malam tadi, Khalid sebaliknya menyeru supaya tumpuan serangan dihalakan kepada Barisan Nasioal (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

So, we have to stop shooting ourselves. Jangan kita sama kita berbalah. Apa sahaja perbezaan selesai dalam majlis mesyuarat, majlis presiden.

“Kadang-kala masalah kini ini terlalu aktif dalam media sosial. Kita sama kita bertelagah.

“Serang ini serang itu, tumpu serangan pada BN tumpu serangan pada PN zahirkan kesatuan kita dan kemampunan kita untuk memerintah dengan lebih cemerlang daripada BN, PN. Insya-Allah. Kita yakin,” katanya.

Justeru Khalid berharap mesyuarat Majlis Presidan PH yang pertama selepas pemilihan parti DAP dan PKR selesai dapat menguruskan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, semua isu yang berbangkit akan dapat dibincangkan dalam mesyuarat yang dijadual berlangsung minggu depan.

“Kita akan buat kerjasama memupuk PH dan pada masa sama mengenalpasti strategi bersama yang paling berkesan untuk menyelamatkan Malaysia ini daripada pemerintahan BN dan PN.

“Saya harap kita semua satu hati. Minta maaf jika ada perbezaan, ada pandangan-pandangan yang mungkin berbeza tapi dalam mesyuarat Majlis Presiden PH insya-Allah semua akan kita kenalpasti, bahas dan selaras,” katanya.

Menurut Khalid, isu terpenting dalam PH adalah mencari strategi untuk mencapai kemenangan dan kaedah untuk meyakinkan pengundi terhadap parti itu.

Katanya, jika PH tidak mempunyai pendekatan yang meyakinkan rakyat maka pengundi akan menjauhkan diri daripada parti tersebut pada pilihan raya umum nanti.

Flash moblah, inilah, itulah semua kita lakukan. Nak kerahkan rakyat, mobilize rakyat, mobilize public opinion.

We change, we don’t want Najib, we don’t want Zahid. Kita tak nak UMNO, kita tak nak PN, kita inginkan PH kembali memerintah dengan cemerlang,” katanya.

Isu khemah besar untuk mengabungkan semua parti pembangkang antara isu yang mencetuskan perbalahan dalam kalangan pemimpin PH.

Pemimpin PKR terutamanya menolak idea tersebut kerana ia bakal mengabungkan Bersatu dan Pejuang.

Bersatu dianggap sebagai parti pengkhianat selepas bertindak keluar daripada kerjasama sehingga menyebabkan Kerajaan PH jatuh pada 2020 hanya selepas 22 bulan memerintah.

Sementara Pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad pula dilihat sebagai gunting dalam lipatan selepas gagal menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan.-MalaysiaGazette.