BENTONG – Tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh merupakan dua kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh penunggang motosikal.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, alasan yang diberikan pula adalah tidak sempat untuk memperbaharuinya.
Tegasnya, alasan itu tidak munasabah kerana semua pemilik motosikal sepatutnya mempunyai kedua-dua dokumen berkenaan untuk berada di atas jalan raya.
Malah, penunggang motosikal mempunyai banyak akses untuk memperbaharui lesen dan cukai jalan.
“Alasan sering diterima penguatkuasa JPJ adalah adalah, tidak sempat ke JPJ perbaharui lesen dan cukai jalan.
”Sedangkan, pemilik motosikal boleh perbaharui cukai jalan di mana-mana jadi itu bukan alasan yang boleh terima,” katanya ketika sidang media selepas memantau perjalanan Ops Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong, hari ini.
Dalam operasi itu, JPJ telah mengambil tindakan terhadap 796 buah motosikal atas pelbagai kesalahan daripada 3,000 motosikal yang diperiksa menerusi Ops Lejang Fasa 1 sejak pagi tadi.
Menurut beliau, seramai 140 anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Anih Berhad bekerjasama dalam operasi bersepadu itu sejak 8 pagi tadi di di 12 hotspot sekatan jalan raya (SJR).
“Kita nampak jalan dari Bentong ke Karak memang jalan yang disukai penunggang motosikal pada hujung minggu. Kita sasarkan hujung minggu ini bukan kita nak halang penunggang motosikal beriadah ke mana-mana tetapi kita ingin memastikan penunggang-penunggang mematuhi peraturan jalan raya,” tambah beliau.
Jelas Aedy Fadly, Ops Lejang Fasa 1 yang bermula hari ini di seluruh negara menumpukan kesalahan yang dilakukan oleh penunggang motosikal dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya dan risiko maut kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Kita tidak mahu berlaku kemalangan tetapi dengan kesalahan tanpa lesen, mereka ini bukan setakat membahayakan diri sendiri tapi pengguna jalan raya yang lain. Kita nak pastikan semua pengguna jalan raya selamat.
“Apabila ingin memandu kenderaan pastikan berada dalam kesediaan sewajarnya, ada lesen, cukai jalan, ada insurans dan semua kenderaan lengkap dan selamat sebelum memulakan perjalanan,” katanya lagi.
Untuk rekod, sejak 2018 hingga tahun ini, sebanyak 3.7 juta motosikal telah diperiksa di mana 1.3 juta daripadanya telah diambil tindakan olej JPJ.-MalaysiaGazette