Najib PN
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sekali lagi bertanya adakah surat luar biasa ‘bodoh’ ditulis oleh Tan Sri Tommy Thomas telah dirujuk kepada Kabinet Pakatan Harapan (PH) dan Dewan Rakyat atau tidak.

“Saya nak tahu siapa yang pandai sangat untuk fikir bahawa waris Sulu yang telah upah peguam antarabangsa mahal dan mahu saman berpuluh bilion ringgit akan bersetuju untuk menerima gantirugi RM48,300 sahaja seperti ditawar dalam surat Tommy untuk settle case (selesaikan kes),” soal Najib lagi.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, kaedah Kerajaan PH mengendalikan tuntutan waris Kesultanan Sulu ini sama seperti kes Pulau Batu Puteh.

”Belum apa-apa lagi, kerajaan PH umum mengaku kalah dan tarik balik rayuan Pulau Batu Puteh seminggu sebulan perbicaraan bermula.

”Belum apa-apa lagi, kerajaan PH dah tulis surat untuk mengaku salah bagi kes tuntutan wakil Sulu lalu tak hantar wakil untuk pertahankan hak kita,” katanya dalam kenyataan di sini.

Najib menjawab kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia perlu kaji sama ada serangan di Lahad Datu dilakukan olej keturunan Sultan Sulu atau orang lain.

Menurut Najib, yang mengaku mastermind (dalang) serangan Lahad Datu ialah Sultan Jamalul Kiram III, putera kepada Sultan Muwallil Wasit yang merupakan putera kepada Sultan Jamal ul-Azam.

Manakala yang mengetuai pasukan Sulu untuk serang Lahad Datu pula ialah Raja Muda Agbimuddin Kiram, adik kepada Jamalul Kiram III.

Malah, antara senarai waris Sulu yang failkan saman di mahkamah Sepanyol pula ialah Dayang-Dayang Sheramar Kiram iaitu puteri kepada Sultan Jamalul Kiram III.

“Sheramar Kiram juga merupakan kakak kepada Jacel Kiram iaitu kawan baik Nurul Izzah. Ayah dia mengaku mastermind. Bapa saudaranya ketuai pasukan untuk menyerang. Tapi dia pula yang tuntut pampasan dari Malaysia.

“Bukan keturunan Sultan Sulu yang serang kita ke?,” soal Najib lagi.

Soalnya, kata Najib, adakah Tommy dan kerajaan PH periksa betul-betul bahawa waris Sulu yang menuntut benar-benar tiada kaitan dengan pihak yang menyerang Malaysia.

Ahli Parlimen Pekan ini turut menempelak kenyataan Mahathir yang  berkata “Sebelum ini tidak ada masalah. Tiap-tiap tahun kita bayar. Bila berhenti, maka mereka bawa kes ke mahkamah Sepanyol, tapi kita tidak iktiraf mahkamah di Sepanyo.  Sebab dalam membuat hukuman (tuntutan), kedua-dua pihak mesti memberi pendapat dalam mempertahankan kedudukan mereka. Tapi ini dibuat keputusan sebelah saja. Jadi itu kita tak pernah bagi kuasa kepada mahkamah Sepanyol”.

Menurut Najib, Mahathir kata Malaysia tak iktiraf mahkamah Sepanyol, sebab itu tidak hantar wakil ke sana.

“Tapi boleh pulak Tommy Thomas tulis surat mengaku salah kepada waris Sulu dan salinan kepada Hakim Mahkamah Sepanyol pulak. Surat yang tidak diletakkan “without prejudice pula”

”Kamu tak mahu iktiraf mahkamah tapi kamu tulis surat kepada hakim mahkamah mengaku salah. Mahu kita tak kalah?,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.