JOHOR BAHRU- Sebanyak 14 serbuan Op Kontraban dilaksanakan polis Johor bermula jam 7.15 petang 20 Julai hingga dua pagi 25 Julai.

Serbuan dibuat di daerah Mersing, Seri Alam, Muar, Tangkak, Iskandar Puteri, Kota Tinggi, Segamat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, 16 lelaki tempatan dan sembilan lelaki warga asing berusia 20 hingga 53 tahun ditahan dalam operasi tersebut.

Kamarul menunjukkan bahan rampasan dalam Op Kontraban di Johor.

Antara yang dirampas 158,380 liter minyak diesel bernilai RM396,050, 215 karton rokok, 50 botol arak, 15 lori dan 10 gelen petrol dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.97 juta.

“Kita bergabung dengan agensi-agensi berkaitan dan menggembleng tenaga untuk memastikan tiada lagi penyelewengan berlaku di Johor.

“Saya beri amaran kepada mereka yang terlibat dalam mana-mana sindiket untuk menghentikan perbuatan ini kerana pasukan kami menjalankan operasi di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui pada sidang media, di sini hari ini.

Tambahnya, terdapat suspek warga negara asing juga didapati menyalah guna dokumen perjalanan masing-masing.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imegresen serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. -MalaysiaGazette