Beberapa ciapan di Twitter yang menghina Amira Aisya.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz menjadi mangsa ‘body shaming‘ di Twitter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, beliau tidak akan berdiam diri terhadap perbuatan yang disifatkan sebagai satu bentuk penghinaan dan pencabulan.

Menurut Amira Aisya, beliau akan membuat laporan polis terhadap perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Lepas saya disiasat di Dang Wangi nanti, saya report awak-awak semua pula ya.

Especially comment dari @WhiteGreyF. Ini adalah sexual harassment. Saya tak akan kompromi dengan tindakan jelik ini,” ciap Amira Aisya di Twitter.

Beberapa foto Amira Aisya ketika terlibat dalam demonstrasi #Turun di ibu negara baru-baru ini telah digunakan oleh beberapa pengguna di Twitter untuk menyerang ADUN MUDA itu.

Mereka menyasarkan bentuk fizikal Amira Aisya untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penglibatan wakil rakyat tersebut dalam demonstrasi berkenaan.

“Izinkan saya berkongsi dengan anda beberapa tweet menjijikkan/body shaming yang dihantar kepada saya daripada video #Turun saya.

Body shaming dan komen yang tidak perlu tentang sifat fizikal seseorang tidak boleh dinormalisasi!

“Saya bercakap sekarang dan berdiri dengan semua orang yang telah dimalukan. Laporkan akaun ini,” katanya.

Perbuatan mengutuk, menghina dan mencaci bentuk tubuh seseorang adalah satu kesalahan jenayah.

Undang-undang yang terpakai di Malaysia untuk menangani pelakuan jenayah berkenaan adalah di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya,

Manakala kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil pula, seseorang yang didakwa boleh didenda tidak melebihi RM100.-MalaysiaGazette

Individu yang menjadi mangsa jenayah body shaming di media sosial perlu membuat laporan polis sebelum merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Jika ada bukti dan perkara itu disahkan polis, SKMM akan memaklumkan kepada Google dan YouTube berasaskan laporan polis yang diterima sebelum tindakan sekatan akaun dibuat.-MalaysiaGazette