KUALA TERENGGANU – Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin rebah akibat kekurangan rehat dan strok haba di sini kelmarin.
Kebetulan ketika beliau rebah, kru MalaysiaGazette turut berada bersamanya untuk penggambaran dokumentari khas di rumahnya.
Kini keadaannya kembali stabil.
Insiden rebah ini berlaku dua kali iaitu pada hari Sabtu, selepas beliau turun ke bendang mengerjakan sawah berikutan cuaca panas di kediamannya di Jertih.
Selepas adik beradiknya memapahya duduk, beliau seperti sesak nafas dan jatuh beberapa kali sebelum dikejarkan ke klinik berhampiran.
Doktor kemudian memintanya untuk berehat selain makan ubat ikut masa kerana kemungkinan berkaitan dengan strok haba.
Bagaimanapun pada hari kedua, sejurus selepas bersarapan dengan penduduk kampung dan menyertai kuliah agama sekitar 10.30 pagi, beliau sekali lagi rebah.
Kali ini beliau dikejarkan ke Hospital KPJ Kota Bharu kerana bimbang kemungkinan ianya serangan sakit jantung.
“Ketika ini saya okay, berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat di rumah. Memang doktor menasihatkan saya untuk tinggal bagi pemeriksaan lanjut di hospital tetapi saya mohon untuk pulang berehat di rumah dengan pemantauan.
“Pada awalnya, saya hanya beranggapan saya kena serangan jantung kerana sukar bernafas dengan tiba tiba tetapi alhamdulilah beberapa doktor termasuk pakar jantung mengesahkan keadaan jantung saya normal.
“Semua pemeriksaan lain juga menunjukkan keadaan yang baik. Justeru itu ,saya ingin beralih kepada rawatan alternatif perubatan Islam sambil-sambil berehat di rumah di samping keluarga.
“InsyaAllah saya akan menghubungi guru kami tercinta, Datuk Sharhan Shafie Al Ruqyah Thobibi untuk bantuan perubatan Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mohamad Azlan yang terkenal dengan jolokan ‘jutawan sampah’ kerana berjaya kejayaan luar biasa keluar dari kepompong kemiskinan melahirkan rasa terharu terhadap masyarakat begitu prihatin dengan tahap kesihatannya.
“Saya terharu, ribuan mesej di laman sosial media dan juga panggilan telefon tidak terhenti dari pelbagai pihak yang cukup bimbang dan prihatin dengan keadaan diri saya.
“Terima kasih banyak kepada semua, saya akan kembali aktif dalam seminggu lagi selepas berehat sepenuhnya. Terima kasih sangat untuk doa anda semua,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, jutawan hartanah yang bermula sebagai pengutip sampah itu tular kerana membawa kegembiraan kepada kira-kira 400 penduduk Besut yang juga tempat kelahirannya apabila mempelawa mereka menaiki helikopter secara percuma.
Kisah dari pengutip sampah kepada ahli perniagaan bergelar jutawan diabdikan menerusi penulisan buku ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’.
Baru-baru ini Mohamad Azlan kembali mencuri perhatian apabila tampil membantu ikat jamin seorang wanita yang dijatuhi penjara 14 bulan kerana mencuri dua peket minuman Milo oleh Mahkamah Marang. – MalaysiaGazette