Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bercakap pada sidang media mengenai isu kesesakan jalan raya ibu kota di Menara Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Laluan kontra (tidal flow) di kawasan yang sesak di ibu kota akan ditambah khususnya pada waktu puncak.

Laluan kontra baru itu akan diwujudkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban kawasan Sungai Besi dan di Bulatan Pahang.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, laluan kontra sedia ada pula iaitu di Jalan Cheras akan dipanjangkan sehingga lapan kilometer (km).

Jelas beliau, laluan kontra merupakan cara yang dilihat berkesan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.

“Pertama untuk kita mudahkan bagi pengguna yang ingin memasuki KL dan keluarkan pengguna dari KL,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan kali kedua di Menara KL.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman  dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Tambah beliau, mesyuarat hari ini turut memutuskan supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pelupusan halangan-halangan yang dibuat oleh kontraktor akibat kerosakan jalan.

Selain itu katanya, kerja membaiki kerosakan jalan akan dibuat serta merta oleh DBKL, namun caj bayaran ditanggung oleh pihak pemaju dan kontraktor yang sepatutnya melakukannya.

Jalaluddin berkata, kerosakan jalan berpunca daripada pembangunan namun diabaikan untuk tempoh yang lama merupakan salah satu punca berlakunya kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

“DBKL akan upuskan halangan-halangan yang dibina oleh pihak kontraktor yang ingin buat pembaikan jalan, pembangunan dan sebagainya.

“Kerosakan yang diakibatkan oleh pihak kontraktor akan dilakukan oleh DBKL dan bayaran kita akan tuntut kepada pihak berkenaan kerana peringatan sudah diberi kepada pihak pemaju pembangunan termasuk kontraktor tetapi pembaikan lambat dijalankan,” jelas beliau.

Sementara itu beliau berkata, perbincangan di antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan syarikat konsesi tol bagi menambah baik sistem bayaran yang pelbagai masih dalam peringkat perbincangan.

Sebelum ini, Jalaluddin berkata, jawatankuasa berkenaan mencadangkan agar sistem tuntutan bayar tol tidak lagi tertumpu kepada satu cara sahaja pada satu lorong.

Beliau berkata, cara ini dalam masa yang sama memendekkan proses bayaran dan memudahkan laluan trafik. – MalaysiaGazette