Foto Facebook PJ City.

KUALA LUMPUR – Kekuatan Sabah FC dalam situasi bola mati perlu diberikan penekanan utama jika PJ City FC mampu menamatkan penantian kemarau kemenangan selepas lapan perlawanan.

Pemain tengah PJ City FC, Shivan Pillay Asokan berkata, mereka perlu elak memberikan sepakan percuma di kawasan berbahaya bagi mengurangkan risiko dihukum Sabah menjelang aksi kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Selasa.

Tambahnya, pemain-pemain Sabah seperti Baddrol Bakhtiar dan Park Tae Su antara watak yang berikan perbezaan kepada pasukan.

“Berdepan Sabah, kita kena segera cari semula sentuhan kemenangan apabila terlepas peluang semasa berdepan dengan Melaka.

“Namun Sabah sememangnya diketahui berada di tahap terbaik dan mereka antara pasukan yang sangat berbahaya pada situasi bola mati.

“Di PJ City, kami telah lakukan kerja rumah dalam meneliti kekuatan yang dimiliki Sabah semasa situasi bola mati dan harap boleh membantu pada perlawanan sebenar.

“Baddrol dan Park, dua pemain yang sentiasa berbahaya apabila mereka mendapat sepakan percuma atau sepakan penjuru, jadi kami kena sentiasa fokus,” katanya.

Kali terakhir PJ City meraih kemenangan di Liga Super ialah pada 6 April lalu iaitu semasa menewaskan Terengganu 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Selepas itu, PJ City sekadar meraih lima keputusan seri dan tiga kekalahan dalam lapan perlawanan terakhir Liga Super.

Dalam pada itu, Shivan menjelaskan dia sangat gembira kerana secara konsisten mula diberi kepercayaan berada dalam kesebelasan utama.

Biarpun hatinya sedikit berat untuk tinggalkan Selangor selepas dua musim di sana, dia akui peluang diberikan PJ City sebagai sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.

“Tiada istilah menyesal apabila memilih tinggalkan Selangor biarpun mereka ada reputasi lebih besar namun saya melihat kekerapan peluang untuk bermain di Liga Super sebagai perkara utama.

“Kini secara perlahan-lahan saya sudah berjaya raih tempat dalam kesebelasan utama malah dapat bermain di posisi kegemaran iaitu selaku pemain tengah.

“Selain itu, di sini saya tetap boleh belajar dari pemain-pemain pengalaman seperti K.Gurusamy, Mahali Jasuli dan Khyril Muhymeen.

“Malah, saya menjadikan Darren Lok dan Kalamullah Al-Hafiz sebagai inspirasi iaitu jika boleh konsisten dalam tiap perlawanan maka tidak mustahil bagi mendapat panggilan skuad negara, ” katanya.

Setakat ini, Shivan yang berusia 22 tahun telah diturunkan dalam sembilan perlawanan dengan enam daripadanya bermula dari kesebelasan utama. – MalaysiaGazette