Dr. Chong Fat Full (tiga dari kiri) ketika bercakap kepada media.

KUALA LUMPUR – Sayap Bersekutu Bersatu yang menghimpunkan ahli-ahli bukan bumiputera masih lagi kukuh walaupun terdapat ura-ura Datuk Seri Dr Santhara Kumar meletakan jawatan sebagai ketua sayap tersebut.

Timbalan Ketua sayap itu Dr. Chong Fat Full berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bertemu dengan Santhara hari ini untuk berbincang dengan Ahli Parlimen Segamat mengenai isu peletakan jawatan sayap parti.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas mempengarusikan mesyuarat Sayap Bersekutu Bersatu di sini hari ini.

Dr. Chong Fat Full

Dr. Chong turut menafikan khabar angin kononnya Santhara mahu meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia pimpinan Datuk Seri Zuraida Kamaruddin.

“Kalau ikut petikan media, Santara dikatakan mahu keluar parti. Itu tidak benar. Kami ada hubungi YB Santara dan beliau menyatakan mahu meletakkan jawatan sebagai ketua sayap sahaja dan tidak keluar parti.

“Saya dimaklumkan beliau mahu fokus kepada kawasan Segamat. Beliau Ahli Parlimen Segamat dan sekarang PRU-15 sudah dekat beliau mahu menggunakan masa yang ada untuk berkhidmat di kawasannya,” kata Dr. Chong.

Sementara itu beliau turut menafikan ahli Bersekutu tidak mempunyai peluang dan masa depan dalam Bersatu.

Malah ketika ini keahlian sayap tersebut adalah seramai 50,000 dan disasarkan meningkat kepada 100,000 menjelang November ini apabila mereka melakukan jelajah ke seluruh negara.

“Ahli-ahli Bersekutu Bersekutu tidak rasa bahawa kami dipinggirkan dan tentulah ada ruang yang mungkin kita boleh perbaiki. Yang kata tidak ada masa depan itu tidak betul.

“Saya boleh maklumkan pucuk pimpinan Bersekutu Bersatu masih kukuh termasuk di peringkat negeri dan akar umbi,” katanya.

Pada waktu ini Fat Full berkata, beliau akan memangku tanggungjawab Santara sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu.-MalaysiaGazette