Anggota polis membawa dua suspek ke mahkamah untuk pendakwaan atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan di sebuah bangunan kondominium di Kelana Jaya pada 12 Julai lalu di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2022.

PETALING JAYA – Dua suspek didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan di sebuah bangunan kondominium di Kelana Jaya pada 12 Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh, S. Kumara Rao, 55, dan R.Ramesh, 45, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dari kedua-dua tertuduh berikutan kes bunuh itu memperuntukkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa telah membunuh Qadir Muhammad di sebuah kondominium di Bangunan Zenith Residence Corporate Park, Kelana Jaya pukul 8.48 malam pada 11 Julai lalu.

Susulan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan bogel akibat terjatuh dari tingkat 17 di sebuah bangunan kondominium di Kelana Jaya, pada 12 julai lalu telah dikenal pasti identitinya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah memohon bantuan kedutaan untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Siasatan mendapati, mangsa dipercayai sudah beberapa kali bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian iaitu rumah suspek malah telah berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay.

Susulan itu, dua suspek ditahan dengan merampas telefon bimbit serta pelbagai peralatan seks.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette.