KUANTAN- Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat dan merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussadia (HMMC) di sini hari ini.
Semasa bertitah, baginda berkongsi pengalaman mendapatkan zuriat dan menzahirkan simpati kepada ibu yang tidak dapat menyusukan anak dengan susu ibu.
Baginda turut menasihati ibu memberi susu yang berkhasiat kepada bayi dengan menggalakkan ibu menjaga pemakanan.
Raja Permaisuri bertitah agar pusat tersebut beroperasi secara berterusan seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah.
“Susu berkhasiat bergantung kepada pemakanan si ibu. Jangan hangat-hangat tahi ayam, saya harap usaha ini berterusan,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda yang juga Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) kemudian berkenan mencemar duli menurunkan tandatangan pada plaque perasmian HMMC.
Baginda kemudiannya dan berkenan berangkat melawat pusat tersebut yang terletak di aras tiga, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah SASMEC@IIUM.
Pusat Susu Bonda Halimatussadia mula operasi pada akhir 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif Hospital Mesra Bayi SASMEC @IIUM.
Pasukan HMMC bercita-cita untuk menubuhkan Pusat Susu Ibu yang pertama diluluskan dan patuh shariah untuk memastikan semua bayi dibekalkan dengan susu ibu.
Untuk mencapai matlamat itu, penyelidikan yang meluas dilakukan dan menubuhkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif yang mematuhi maqasid syariah dalam memelihara bukan sahaja nyawa malah keturunan, harta dan juga akal.
Pada Februari 2020, pasukan itu mengadakan satu lawatan ke Bank Susu di Hospital Universiti Queen Elizabeth, Glasgow untuk memperoleh kemahiran mengenai teknikal dalam mewujudkan dan menyelenggara bank susu manusia.
Beberapa sesi dialog dan perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa agama untuk negeri Pahang untuk mendapatkan panduan dan nasihat yang jelas tentang pematuhan syariah bagi penubuhan dan kelulusan pusat tersebut.
Ia termasuk Pejabat Mufti Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang.
Terdahulu pada Oktokber 2021, MalaysiaGazette berpeluang membuat lawatan ke pusat berkenaan bagi mengenal pasti pengoperasian pusat yang ditubuhkan khusus untuk membantu bayi pramatang yang tidak mendapat khasiat susu ibu yang mencukupi. – MalaysiaGazette