Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengesahkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) sudah dikenakan tindakan dengan diarahkan untuk tidak menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Tindakan itu dibuat selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang bertegas untuk Dewan Rakyat membuat keputusan terhadap Tajuddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur lucah.

“Saya (Speaker) dan Timbalan Speaker akan mengambil tindakan berlandaskan kepada peraturan-peraturan majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya perkataan-perkataan tersebut masih disebut di dalam Dewan.

“Ini keputusan saya,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Rashid, larangan itu berkuat kuasa pada Rabu dan Khamis lalu.

Tidak puas hati dengan tindakan itu, Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) bangun menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan itu.

“Speaker tidak mengusir Pasir Salak, kamu mengelirukan Dewan dengan mengatakan telah mengusir Pasir Salak, beliau tidak dihalau keluar, Kota Belud yang dihalau keluar,” kata Kasturi.

Ketika membuat keputusan itu, Rashid berkata, apa yang dinyatakan Kasturi tidak terdapat dalam handsard Dewan pada hari itu.

“Keputusan saya adalah satu,  apabila dalam surat tersebut ada ungkapan wanita DAP – satu saya beri amaran.

“Kedua mengenai sebut dengan surat saja, huruf P*****k sahaja, dalam hansard tidak ada, rujukan Penasihat Undang-undang juga tidak ada.

“Bila saya perintahkan Pasir Salak sila keluar, saya bagi amaran,” katanya lagi.

Kasthuri turut bangun menerangkan kata-kata kesat itu sememangnya tidak ada dalam handsard kerana mikrofon di meja Tajuddin ditutup.

“Saya dengan sembilan Ahli Parlimen dengar kata-kata itu, kerana mikrofon ditutup ketika itu,” kata Kasthuri.

Berang dengan desakan Kasturi, Rashid dengan nada tegas mengarahkan Kasthuri duduk namun tidak diendahkan.

“Saya telah buat keputusan, kamu faham tak?

“Saya dengan ini memerintahkan Batu Kawan (Kasthuri) keluar dewan,” kata Rashid dengan nada garang.

Kasthuri dalam pada itu memberikan respons bahawa Rashid tidak membuat tindakan sama dengan memberikan amaran kepada Tajuddin ketika beliau membuat kenyataan kesat tersebut.

“Saya malu dengan MP BN yang menyokong penggunaan kata-kata lucah di Dewan Rakyat,” teriak Kasturi di Dewan Rakyat.

Tidak puas hati dengan tindakan itu, Teo Nie Ching (PH-Kulai) bangun mempertikaikan tindakan Rashid.

Rashid berkata; “(Ahli Parlimen) Kulai sila duduk.

“Ini punca daripada kamu Kulai, kerana sebut nama tiga Ahli Parlimen seksis di Dewan Rakyat,” kata Rashid.

Kasthuri turut dilarang untuk memasuki Dewan Rakyat selama dua hari. – MalaysiaGazette