Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan agar Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) bersidang bagi membincangkan isu penubuhan Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM) Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, persidangan semula itu perlu dilakukan bagi orang ramai mengetahui perbincangan serta hujah MKI mengenai penubuhan pusat susu tersebut dalam negara.

“Kita nak tahu, adakah negara sudah sampai tahap terpaksa hingga perlu mewujudkan pusat susu ini?

“Sedangkan fatwa beberapa negara Islam seperti Mesir dan Arab Saudi tidak benarkan penubuhan pusat ini di negara mereka atas sebab-sebab tertentu.

“Malah mereka berpendapat ia lebih kepada mengikut pandangan negara Barat selain belum sesuai untuk negara Islam mengikutinya. Jadi timbul persoalan di sini, adakah kita terdesak nak wujudkan pusat itu atau saja nak turut orang Barat?” soalnya.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, pihaknya sedia maklum semestinya IIUM yang menyediakan memudahkan itu mendapatkan pandangan pakar dari segi hukum Islam serta perubatan namun ia perlu diberitahu umum.

“Isu ini membabitkan hukum dari segi agama kerana Islam sendiri mengharamkan pernikahan dua beradik susuan seperti dalam Surah An-Nisa ayat 23 meskipun ada syarat yang disertakan.

“Kita perlu cermat buat keputusan sebegini agar terselamat daripada berlakunya pencampuran nasab.

“Sehubungan itu, saya cadangkan agar MKI bersidang semula untuk membincangkan isu ini lebih teliti,” jelasnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam media tempatan melaporkan, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat dan merasmikan Pusat Susu Bonda Halimatussadia (HMMC) di Kuantan, Pahang. – MalaysiaGazette