JOHOR BAHRU – Percikan api atau “flashover” yang berlaku di di Pencawang Masuk Utama (PMU) di Yong Peng, tengah hari tadi telah dipadamkan.
Bagaimanapun, pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu, kata Pengurus Besar TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth.
Menurut beliau, meskipun kejadian itu berlaku di sini, namun negeri ini tidak berlaku gangguan elektrik seperti mana yang berlaku di tempat-tempat lain.
“Ya berlaku ‘flashover’ di PMU Yong Peng tengah hari tadi, namun tiada pengguna di Johor terbabit gangguan bekalan.
“TNB Ibu Pejabat akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai insiden ini dan kami juga telah mengaktifkan bilik gerakan sebagai persediaan,” katanya ketika melakukan tinjauan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng Utara petang tadi.
Ketika tinjauan dilakukan terdapat beberapa kakitangan TNB sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian.
Percikan api itu mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GWW) yang juga merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette