'Lebuh raya' Timur-Barat menghubungkan Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan bertaraf satu lorong sehala.

DARIPADA 11 negeri dalam peta Semenanjung Malaysia, negeri mana paling mundur?

Maksud mundur ialah kebelakang, tidak maju, termiskin dari kalangan miskin dan serba daif.

Bawah Kolong cuba membuat semakan. Cuba intai bermula dari negeri paling kecil, Perlis. Negeri ini mempunyai banyak kemudahan infrastruktur dan boleh dikatakan maju.

Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Terengganu pun sama. Tak ada kurang, malah ada banyak kelebihan.

Cuma satu negeri yang Bawah Kolong tengok agak kebelakang dalam semua segi daripada 11 negeri yang ada, iaitu Kelantan.

Kenapa Kelantan sering ketinggalan, masih jadi tanda tanya sampai sekarang. Padahal, Kelantan mempunyai rakyat yang boleh dikatakan bijak pandai dan otak briliant.

Tengok saja di mana-mana jabatan dan syarikat, kebanyakan yang pegang jawatan besar adalah orang Kelantan. Selain kilang-kilang dan perniagaan di ibu kota pun dimonopoli rakyat Kelantan.

Jadi, tidak mustahil kalau setiap kali musim perayaan, lebih 2 juta kenderaan memenuhi dan sesak di sepanjang lebuh raya serta jalan raya menuju ke Kelantan.

Namun, yang pelik dan belum terjawab sehingga kini ialah kenapa Kelantan tidak maju? Seolah dianaktirikan. Seolah ditutup mata oleh sesiapa sahaja yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Inilah standard jalan raya di Kelantan, boleh dilihat di kebanyakan laluan sebaik melepasi sempadan negeri.

Apa dosa Kelantan sehingga sekarang belum ada lebuh raya? Malaysia sudah capai negara maju, tetapi Kelantan tetap tersisih dari sebarang kemajuan pembangunan.

Sepuluh daripada 11 negeri yang memenuhi Semenanjung Malaysia, hanya Kelantan belum ada lebuh raya.

Maksud lebuh raya ialah jalan penghubung yang mempunyai dua, tiga dan empat Lorong. Tetapi jalan ke Kelantan setiap penjuru hanya satu lorong.

Kalau ada lebuh raya pun, menumpang negeri Pahang iaitu lebuh raya Central Spine Road (CSR).

Itu pun di Bentong dan Padang Tengku ke Merapoh. Semuanya dalam Pahang. Masuk saja sempadan Kelantan bermula dari Gerik, Perak ke Jeli, dan dari Merapoh, Pahang ke Gua Musang, jalannya satu lorong sehala.

Kalau ada dua lorong di Kelantan pun ketika mendaki bukit sepanjang Gua Musang ke Kuala Krai, iaitu laluan memotong kenderaan berat.

Kalau ditanya kepada pemimpin, baik pusat mahupun negeri, mereka jawab Kelantan bakal dibina lebuh raya. Kenyataan ini dicanang sejak puluhan tahun lalu lagi, tetapi sampai sekarang belum menjadi kenyataan.

Kenapa susah sangat nak bina lebuh raya yang betul-betul lebuh raya ke Kelantan? Tidak sedihkah kerajaan, pusat mahupun negeri mendengar laporan berita saban hari berlaku kemalangan maut setiap kali perantau pulang ke kampung di Kelantan?

Banyak sangatkah kos diperlukan untuk bina lebuh raya yang betul-betul lebuh raya? Teruk sangatkah struktur muka bumi dari Kuala Lumpur ke Kelantan, dari Gerik ke Kelantan hingga terlalu sukar untuk membina sebuah lebuh raya yang betul-betul lebuh raya ke negeri itu?

Ini pemandangan CSR Padang Tengku ke Merapoh, sebaik masuk sempadan Gua Musang, Kelantan, bertukar menjadi satu lorong sehala.

Walaupun Malaysia bertukar lapan Perdana Menteri, rakyat Kelantan boleh terima hakikat tidak ada seorang pun dari mereka rakyat Kelantan, tetapi daripada puluhan Menteri Kewangan, pernah ada seorang rakyat Kelantan menjawat jawatan itu.

Takkan tidak terbuka pintu hatinya untuk memujuk Perdana Menteri supaya dibina satu lebuh raya yang betul-betul mempunyai cukup sifat lebuh raya?

Apapun, era rakyat Kelantan jadi Menteri Kewangan sudah berlalu. Rakyat Kelantan tidak lagi impikan sebuah lebuh raya di negerinya. Mereka reda bersesak-sesak pulang ke kampung pada musim perayaan.

Mereka berserah kepada Allah agar diberi perlindungan sepanjang pulang ke kampung. Jauhkan dari mara bahaya yang boleh meragut nyawa atau kecederaan.

Namun, satu permintaan dari rakyat Kelantan kepada pemimpin pusat, tak dapat lebuh raya yang betul-betul lebuh raya pun tak mengapa, sekurang-kurangnya catlah garisan tengah dan garisan tepi sepanjang jalan raya itu.

Amat sukar memandu terutama pada waktu malam atau cuaca hujan lebat. Kenderaan selalu terbabas masuk jalan bertentangan disebabkan garisan tengah sudah pudar. Dahlah tak ada lampu jalan.

Bagi pemandu, garisan tengahlah panduan mereka. Tapi, ini semua tak ada dan tak pernah terfikir oleh pemimpin negeri mahupun pusat sebab pengangkutan harian mereka adalah kapal terbang.

Untung rakyat di 10 negeri dalam Semenanjung Malaysia, nak pulang ke kampung tidak perlu fikir risiko jalan raya sebab mereka ada jajaran lebuh raya yang betul-betul lebuh raya menghubungkan ke pintu masuk negeri mereka.

Rakyat di negeri utara selatan mempunyai jajaran lebuh raya yang memudahkan pemanduan pulang ke kampung.

Mereka tidak kisah bayar tol mahal, asalkan perjalanan selesa. Tidak perlu ikut belakang lori balak atau treler dua tiga jam sebelum dapat memotong. Mereka ada pilihan, lorong kiri, lorong tengah atau lorong laju.

Lain pula kalau nak balik ke Kelantan sama ada melalui jalan raya Gerik-Jeli mahupun Karak-Bentong-Kuala Lipis-Gua Musang. Kalau ada sebuah lori saja sudah ambil masa berjam-jam untuk memotong.

Sebab itu perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kelantan ada kalanya ambil masa tujuh hingga sembilan jam. Itu belum musim perayaan lagi. Fikir-fikirkanlah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast