MELAKA – Dakwaan yang tular mengatakan 30 banduan berjaya melarikan diri dari penjara Sungai Udang, di sini hari ini adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, perkara itu juga telah disahkan oleh Penguasa Penjara, Superintenden Mohd Saizi Ibrahim.
“Sehubungan itu, anggota Penjara Sungai Udang juga akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tular yang mengatakan 30 banduan mereka berjaya melarikan diri.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan berita palsu berkenaan yang hanya boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini malam ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai kejadian itu yang kemudian dikaitkan dengan operasi bersepadu sekatan jalan raya di Hutan Simpan Sungai Udang bermula hari ini.
“Sekatan jalan raya itu adalah rutin biasa operasi bersepadu menerusi Ops Tapis antaranya melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Operasi yang akan diadakan selama beberapa hari ini bertujuan mengesan kesalahan berkaitan dadah dan tiada kaitan dengan operasi mencari banduan sebagaimana didakwa,” katanya. – MalaysiaGazette.