Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JUN 2022.

DUA hari lalu terdapat beberapa media melaporkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberhentikan perkhidmatan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Tajuk yang dipaparkan oleh media terhadap pemberhentian Muhammad Shafie menggunakan perkataan pecat, diusir dan dibuang.

Antaranya bertajuk ‘Najib pecat Shafie, lantik firma Zaid Ibrahim kendali kes rasuah SRC’ dan ‘Najib pecat Shafee’.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari mahkamah selepas selesai perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JUN 2022.

Memang benar bekas Perdana Menteri itu memberhentikan perkhidmatan Muhammad Shafee daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes melibatkan SRC International.

Bagaimanapun penggunaan perkataan pecat, diusir dan dibuang adalah menyeleweng kerana Najib tidak sama sekali ‘membuang’ perkhidmatan peguam kanan tersebut.

Ahli Parlimen Pekan itu sendiri dalam kenyataannya pada 26 Julai menegaskan dia terpaksa menukar Muhammad Shafee selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu menolak permohonan Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, untuk mewakilinya dalam kes melibatkan SRC International.

Jonathan Laidlaw

Najib melahirkan rasa kesal kerana media menggunakan perkataan diusir dan dibuang terhadap keputusannya mengambil peguam lain.

“Beliau (Najib) juga ingin menyatakan bahawa adalah tidak adil bagi media untuk membuat kesimpulan atau melaporkan bahawa Shafee dan Co telah “diusir” atau “dibuang”.

“Beliau menyertai ramai orang lain dalam keyakinan mereka bahawa sistem perundangan Malaysia dan proses perundangan akan membuktikan beliau tidak bersalah dan memberikan keadilan, yang semua rakyat Malaysia layak di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Shafie sendiri pada 25 Januari tahun ini menuliskan sepucuk surat untuk Najib kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara, memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu, bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kanan) hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 DISEMBER 2021.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakiman pada 21 Julai lalu menerusi sidang video, berkata tidak ada keperluan untuk membawa masuk QC bagi mewakili Najib dalam rayuan akhir berkenaan.

Hakim itu berkata, Laidlaw tidak dapat menunjukkan bahawa beliau memiliki kelayakan khas dan pengalaman bagi mengendalikan kes atau rayuan seperti yang dihadapi Najib.

Peguam itu juga tidak dapat menunjukkan bahawa kelayakan dan pengalamannya tidak dimiliki oleh mana-mana peguam di negara ini bagi tujuan berkenaan.

Hanya selepas mahkamah menolak permohonan Najib untuk melantik Jonathan Laidlaw untuk mewakilinya, bekas Perdana Menteri itu terpaksa menggunakan khidmat Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan, TH Liew & Partners.

Zaid Ibrahim

Najib bagaimanapun enggan mengulas mengulas mengenai pertukaran Muhammad Shafie dengan peguam lain kerana kes SRC International masih belum selesai.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co dilantik mewakili Najib sejak beliau dituduh dalam kes SRC International pada 4 Julai 2018.

Andaian bahawa Najib telah membuang, mengusir dan memecat Muhammad Shafee seolah-olah kedua-dua mereka tidak lagi serasi atau bersengketa adalah tidak tepat.

Khidmat Muhammad Shafee masih diteruskan peguam dalam semua kes lain yang melibatkan Najib. Ini termasuk kes 1Malaysia Development Berhad yang masih lagi berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. Kesemua pertuduhan itu dikendalikan oleh Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee

Bekas Perdana Menteri itu juga masih menggunakan khidmat Muhammad Shafee dalam kes yang melibatkan tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan semula tunggakan cukai lebih RM1.7 bilion daripada Najib dan anaknya Nazifuddin.

Muhammad Shafee juga masih mewakili Najib dalam saman lucut hak berkaitan 1MDB terhadap harta yang dirampas dari sebuah kondominium Pavilion Residences.

Najib juga masih menggunakan khidmat Muhammad Shafee dalam saman sivil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Justeru boleh disimpulkan bahawa Najib tidak memecat Muhammad Shafee dalam kes SRC International Sdn Bhd. Peguam Kanan itu hanya diganti oleh pihak lain.

Najib masih mempercayai kebolehan dan kepakaran Muhammad Shafee justeru perkhidmatan peguam kanan itu masih lagi digunakan dalam kes-kes lain yang sedang dihadapinya.-MalaysiaGazette