Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia pada 2022 dianggarkan 32.7 juta berbanding 32.6 juta pada 2021 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.2 peratus.

Penurunan kadar pertumbuhan penduduk ini disebabkan oleh bilangan penduduk bukan warganegara yang lebih rendah iaitu daripada 2.6 juta (2021) kepada 2.4 juta (2022).

Ia selari dengan sekatan perjalanan antarabangsa oleh negara semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia pada tahun 2020 dan 2021.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, penduduk warganegara meningkat daripada 30.0 juta pada 2021 kepada 30.2 juta pada 2022 dengan kadar pertumbuhan menurun daripada 0.8 peratus kepada 0.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Penurunan kadar pertumbuhan penduduk yang perlahan ini turut berlaku di beberapa negara lain seperti Singapura (-0.3%), Australia (1.3%), United Kingdom (0.4%), Jepun (-0.3%), New Zealand (1.3%) bagi beberapa tahun ke belakang disebabkan oleh penurunan kadar kesuburan jumlah dan migrasi bersih antarabangsa serta peningkatan bilangan kematian disebabkan oleh penuaan penduduk.

Komposisi penduduk warganegara pada 2022 meningkat kepada 92.6 peratus iaitu peningkatan sebanyak 0.5 mata peratus berbanding tahun 2021 (92.1%).

Manakala komposisi penduduk bukan warganegara terus menurun daripada 7.9 peratus kepada 7.4 peratus bagi tempoh yang sama.

Pada 2022, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 17.0 juta dan 15.7 juta.

Nisbah jantina adalah 109 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Bagi tempoh 2021-2022, nisbah jantina bagi warganegara dan bukan warganegara masing-masing kekal pada 103 dan 227 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Nisbah jantina yang tinggi bagi lelaki disumbangkan oleh lelaki bukan warganegara.

Komposisi penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada 2022 menurun kepada 23.2 peratus berbanding 23.6 peratus pada 2021.

Manakala, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.4 peratus pada 2021 kepada 69.5 peratus pada 2022.

Penurunan kumpulan umur bekerja disebabkan oleh komposisi pekerja asing lelaki bukan warganegara.

Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.0 peratus kepada 7.3 peratus bagi tempoh yang sama.

Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia telah menjadi negara menua.

Umur penengah turut meningkat daripada 30.1 tahun pada 2021 kepada 30.4 tahun pada 2022.

Ketua Jabatan Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menambah, daripada 30.2 juta penduduk warganegara, komposisi Bumiputera meningkat 0.3 mata peratus kepada 69.9 peratus pada 2022 berbanding 69.6 peratus pada 2021.

Walau bagaimanapun, komposisi penduduk Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.8 peratus (2021: 23.0%) dan 6.6 peratus (2021: 6.7%) manakala etnik lain-lain masing-masing kekal pada 0.7 peratus.

Terdapat 10 negeri mencatatkan kadar pertumbuhan lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan di peringkat Nasional.

Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada 2022 ialah Selangor (21.6%) diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (10.4%).

Sebaliknya, Labuan dan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus namun Putrajaya mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk tahunan tertinggi bagi tempoh 2021-2022 iaitu 4.3 peratus.

Buat julung kalinya, penduduk Melaka mencecah 1.0 juta orang pada 2021.

Putrajaya mencatatkan jumlah penduduk muda (0–14 tahun) tertinggi dengan 37.4 peratus manakala Sabah mencatatkan jumlah penduduk umur bekerja (15–64 tahun) tertinggi dengan 65.1 peratus pada 2022.

Secara purata, Malaysia mempunyai kepadatan penduduk 99 orang per satu kilometer persegi.

Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk tertinggi dengan 8,045 orang per satu kilometer persegi, diikuti oleh Putrajaya (2,418) dan Pulau Pinang (1,656).

Sarawak pula mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang per satu kilometer persegi, diikuti oleh Pahang (45) dan Sabah (46). – MalaysiaGazette